SHAH ALAM, 23 APRIL: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah baginda akan menentukan calon baharu bagi menerajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam kenyataan kepada Royal Press Office (RPO) hari ini, Seri Paduka Baginda menegaskan tiada keperluan untuk mana-mana pihak mempolitikkan pelantikan tersebut.
Menurut Baginda, jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah amat penting bagi memastikan suruhanjaya itu terus berfungsi secara berkesan sebagai institusi utama negara dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
“Saya akan menentukan siapa calon terbaik untuk menerajui SPRM selepas ini,” titah baginda.
Terdahulu, media melaporkan kontrak Azam dijadualkan tamat pada 12 Mei ini, selain beberapa nama dikatakan diteliti sebagai pengganti.
Untuk rekod, Azam telah tiga kali dilantik semula bagi memegang jawatan berkenaan, masing-masing selama setahun iaitu dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024, 12 Mei 2024 hingga 12 Mei 2025, serta 13 Mei 2025 hingga 12 Mei tahun ini.
Beliau mula memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 bagi menggantikan Latheefa Beebi Koya yang memendekkan kontrak perkhidmatannya selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.








