SHAH ALAM, 25 APRIL: Selangor merancang membangunkan sistem paip kedua khas bagi menyalurkan air tidak terawat untuk kegunaan industri dan komersial, dalam usaha mengurangkan pembaziran air terawat.
EXCO Infrastruktur Dato' Ir Izham Hashim berkata ketika ini Malaysia masih menggunakan sistem satu paip, menyebabkan air terawat digunakan untuk pelbagai tujuan termasuk industri dan kegunaan tandas.
Menurutnya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) merancang untuk memisahkan saluran air terawat dan tidak terawat melalui sistem paip berbeza.
“Ketika ini kita hanya ada satu sistem paip, bermakna air terawat digunakan untuk minuman dan juga tujuan seperti mengepam tandas.
“Tiada pemisahan antara kegunaan domestik dan komersial. Bekalan juga datang daripada loji rawatan air yang sama, ini jelas satu pembaziran,” katanya pada Sidang Dewan Negeri Selangor di sini semalam.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Rajiv Rishyakaran (PH-Bukit Gasing) berhubung kewujudan sistem paip berasingan untuk keperluan kumbahan.
Dalam pada itu, katanya Air Selangor akan terus melaksanakan pelan jangka panjang bagi memastikan tekanan air kekal stabil, termasuk menggantikan paip lama serta menaik taraf rumah pam, takungan dan loji rawatan air.
Beliau berkata usaha meningkatkan kesalinghubungan sistem agihan air antara kawasan turut sedang dirangka.
Izham turut memaklumkan konflik di Asia Barat dijangka meningkatkan kos bil elektrik bagi operasi loji rawatan air Air Selangor.









