209 kes kecurian air direkod di Selangor tahun lalu

24 Apr 2026, 11:55 AM
209 kes kecurian air direkod di Selangor tahun lalu

SHAH ALAM, 24 APRIL: Sebanyak 209 kes kecurian air direkodkan di Selangor sepanjang tahun lepas, sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) dimaklumkan hari ini.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian negeri Dato' Izham Hashim berkata daripada jumlah itu, kecurian melibatkan akaun komersial dikenal pasti sebagai tertinggi dengan 184 kes, manakala selebihnya adalah kes melibatkan akaun domestik.

Beliau berkata setakat Mac tahun ini, sebanyak 43 kes kecurian air direkodkan, terdiri daripada 31 kes melibatkan akaun komersial manakala 12 lagi membabitkan akaun domestik.

“Kecurian air bukan sahaja menjejaskan sistem bekalan dan kepentingan pengguna sah, malah memberi kesan langsung kepada kadar air tidak terhasil (NRW), kestabilan tekanan air serta integriti rangkaian paip sedia ada.

“Justeru, Kerajaan Negeri menerusi Seksyen Penguatkuasaan Air Selangor telah melakukan pemantauan berterusan, tindakan risikan, serta penguatkuasaan mengikut undang-undang ditetapkan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) bagi mengekang kecurian air melalui beberapa strategi,” katanya di Dewan Negeri Selangor di sini.

Izham menjawab pertanyaan lisan Mohd Razali Saari (PN-Sungai Panjang) berhubung perkembangan kes kecurian air dan tindakan bagi mengatasi isu itu.

Beliau berkata antara langkah yang dilaksanakan Kerajaan Negeri melibatkan operasi cegah harian membabitkan kerja-kerja pemantauan proaktif di kawasan berisiko tinggi, aduan dan laporan daripada pekerja barisan hadapan, kerjasama komuniti serta aduan rasmi kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi aplikasi telefon pintar serta kerjasama.

Selain itu, turut dilaksanakan operasi bersepadu Air Selangor bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), pihak berkuasa tempatan dan media.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619