61 lampu solar dipasang di kampung Orang Asli Selangor

23 Apr 2026, 8:27 AM
61 lampu solar dipasang di kampung Orang Asli Selangor

SHAH ALAM, 23 APRIL: Sebanyak 61 unit lampu solar dipasang di Kampung Orang Asli (KOA) seluruh Selangor bagi meningkatkan aspek keselamatan dan kemudahan harian komuniti itu.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli, V Papparaidu berkata daripada jumlah itu, 37 unit dipasang sepanjang 2025 melibatkan lima kampung, manakala 24 unit lagi ditambah tahun ini membabitkan empat kampung.

"Di sini tiada kabel TNB ataupun elektrik di kawasan itu, jadi kita terpaksa menggunakan lampu solar untuk membantu," katanya ketika ditemui di Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Jelas beliau, inisiatif itu penting khususnya bagi membantu pergerakan anak-anak Orang Asli ke sekolah pada awal pagi serta meningkatkan keselamatan jalan pada waktu malam.

"Bila buat lawatan, kadang-kadang kampung Orang Asli ni siang okey, malam memang gelap. Jalan pula tidak begitu rata," katanya.

Selain pemasangan lampu solar, Kerajaan Negeri turut melaksanakan pelbagai inisiatif lain bagi manfaat komuniti Orang Asli.

Antaranya penganjuran karnival sukan futsal di Sungai Bumbun dan Sungai Melut (RM10,000), kerja baik pulih kemudahan termasuk pagar surau dan rumah rosak akibat ribut (RM57,893.50), serta program budaya membaca di beberapa KOA di Kuala Langat dan Hulu Langat (RM20,000).

Turut dilaksanakan pemasangan meter air di 11 rumah di KOA Bakar Leleh, Pulau Carey (RM4,950) serta penganjuran rumah terbuka Aidilfitri di KOA Kolam Air Bangkong (RM5,000).

Dalam perkembangan berkaitan, Papparaidu memaklumkan kira-kira 20 pelajar Orang Asli berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini, termasuk pencapaian tertinggi 9A.

"Saya rasa pelajar dalam kalangan Orang Asli nak dapatkan keputusan cemerlang itu bukan senang. Jadi itu satu penghargaan yang kita patut sambut baik," katanya.

Ujar beliau, pihaknya akan menganjurkan program penghargaan khusus bagi meraikan pencapaian tersebut,

"Kami masih bincang dengan Tok Batin untuk maklumat terperinci. Kami akan bagi wang tunai sebagai penyuntik semangat untuk mereka sambung belajar," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619