155,000 penjawat awam BDR, jimat 334,000 liter minyak

23 Apr 2026, 4:18 AM
155,000 penjawat awam BDR, jimat 334,000 liter minyak

PUTRAJAYA, 23 APRIL: Seramai 155,000 penjawat awam telah mendaftar untuk bekerja dari rumah (BDR) dengan penjimatan dianggarkan berjumlah 334,000 liter minyak bernilai RM678,000 sejak 15 April hingga kelmarin.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

“Pada hari ini, Ketua Setiausaha Negara (KSN) telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri mengenai status pelaksanaan dasar bekerja dari rumah bagi penjawat awam,” katanya pada taklimat krisis bekalan global dan sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini.

Fahmi berkata pelaksanaan dasar itu merupakan antara langkah kerajaan dalam mengurus impak krisis bekalan global, selain mengoptimumkan penggunaan sumber secara lebih cekap.

Beliau turut memaklumkan bahawa KSN telah diingatkan untuk mendapatkan maklumat daripada sektor swasta berhubung pelaksanaan BDR bagi menilai jumlah keseluruhan penjimatan yang boleh dicapai di peringkat nasional.

“Langkah ini penting bagi memberikan gambaran menyeluruh mengenai keberkesanan inisiatif bekerja dari rumah dalam mengurangkan penggunaan bahan api serta kos operasi,” katanya.

Fahmi berkata kerajaan akan terus meneliti dan memperkukuh pendekatan berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memastikan pengurusan sumber negara lebih mampan dalam tempoh ketidaktentuan global.

Pelaksanaan dasar BDR bagi sektor perkhidmatan awam bermula pada 15 April sebagai langkah strategik kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan negara mendepani krisis bekalan global susulan konflik di Asia Barat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619