Anggaran 200,000 penjawat awam BDR bermula esok, kelulusan tertakluk ketua jabatan

14 Apr 2026, 7:10 AM
Anggaran 200,000 penjawat awam BDR bermula esok, kelulusan tertakluk ketua jabatan
Anggaran 200,000 penjawat awam BDR bermula esok, kelulusan tertakluk ketua jabatan

SHAH ALAM, 14 APRIL: Kira-kira 200,000 penjawat awam dijangka terlibat dalam dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bermula esok.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata pelaksanaan BDR tertakluk kepada kelulusan ketua jabatan masing-masing, dengan mengambil kira keperluan perkhidmatan serta kesinambungan operasi.

“Sistem yang kita ada boleh sehingga 200,000. Bukan semua dapat. Kita akan tengok dan pertimbang (berdasarkan) faktor-faktor. Kelulusan BDR ini bergantung kepada ketua kabatan,” katanya ditemui pemberita hari ini.

Terdahulu, beliau melancarkan Dasar Pembaharuan Tadbiran Sektor Awam sempena Majlis Semarakkan Inovasi Sektor Awam 2026 di Pusat Konvensyen MBSA di sini.

Pada 2 April, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dalam surat edaran pelaksanaan BDR memaklumkan pegawai sektor awam di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor serta semua ibu negeri dengan jarak perjalanan sehala dari pejabat ke rumah melebihi lapan kilometer dibenar bekerja dari rumah.

Pelaksanaan BDR selama tiga hari dalam seminggu untuk perkhidmatan awam itu susulan konflik Asia Barat itu, berkuat kuasa mulai esok.

Pelaksanaan BDR bagaimanapun dikecualikan untuk sektor keselamatan dan pertahanan, kesihatan serta pendidikan.

Ia juga berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) Ceraian SR4.1.2: Dasar BDR yang memperuntukkan dasar, syarat dan peraturan BDR.

Sepanjang pelaksanaan BDR, tempat bekerja pegawai ialah rumah yang didaftarkan dalam Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) sahaja.

Kerajaan Selangor turut melaksanakan dasar BDR melibatkan penjawat awam negeri setiap Selasa hingga Khamis pada setiap minggu bermula esok sebagai langkah penjimatan susulan krisis tenaga global.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dasar tersebut akan disemak secara bulanan mengikut keadaan, keperluan serta keberkesanan, selain menggalakkan sektor swasta melaksanakan BDR mengikut kesesuaian masing-masing.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619