SHAH ALAM, 2 APRIL: Pegawai sektor awam di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor serta semua ibu negeri dengan jarak perjalanan sehala dari pejabat ke rumah melebihi lapan kilometer dibenar bekerja dari rumah (BDR).
Syarat khas tersebut dinyatakan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dalam surat edaran pelaksanaan BDR hari ini.
Pelaksanaan BDR selama tiga hari dalam seminggu untuk perkhidmatan awam itu susulan konflik Asia Barat itu, berkuat kuasa mulai 15 April ini.
Pelaksanaan BDR bagaimanapun dikecualikan untuk sektor keselamatan dan pertahanan, kesihatan serta pendidikan.
Ia juga berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) Ceraian SR4.1.2: Dasar BDR yang memperuntukkan dasar, syarat dan peraturan BDR.
Berdasarkan surat edaran itu, negeri di mana Ahad menjadi hari kelepasan mingguan, BDR ditetapkan Selasa hingga Khamis secara sepenuh hari.
Untuk negeri di mana hari kelepasan mingguan Jumaat iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu pula, BDR adalah secara sepenuh hari pada Isnin hingga Rabu.
Sepanjang pelaksanaan BDR, tempat bekerja pegawai ialah rumah yang didaftarkan dalam Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) sahaja.
Tambah surat berkenaan, pegawai dikehendaki menggunakan SPOT-Me yang membolehkan perekodan kehadiran pegawai melalui fungsi geolokasi pada peranti mudah alih dari rumah.
Ujarnya, mereka hendaklah mendaftar masuk dalam SPOT-Me setiap satu jam dan ketua jabatan hendaklah memantau keberadaan pegawai.








