Tular buang puntung rokok dari kenderaan rasmi, MBSA ambil tindakan tegas

23 Apr 2026, 2:56 AM
Tular buang puntung rokok dari kenderaan rasmi, MBSA ambil tindakan tegas

SHAH ALAM, 23 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bertindak pantas menyiasat insiden tular membabitkan kakitangannya yang didakwa membuang puntung rokok dari dalam kenderaan rasmi, sekali gus mencetuskan kecaman dalam kalangan masyarakat.

Pihak berkuasa tempatan itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan kes berkenaan telah dirujuk kepada Bahagian Integriti MBSA bagi siasatan lanjut serta tindakan sewajarnya.

“Siasatan akan dijalankan mengikut Kaedah-kaedah Pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (Kelakuan dan Tatatertib) 2023,” menurut kenyataan itu.

Rakaman video pendek yang tular sejak semalam memaparkan seorang individu dari arah belakang tempat duduk dalam kenderaan rasmi MBSA bertindak membuang puntung rokok keluar dari tingkap.

Tindakan tersebut mengundang reaksi negatif warga maya yang menyifatkannya sebagai tidak beretika, selain mencemarkan imej penjawat awam dan bertentangan dengan usaha memelihara kebersihan serta alam sekitar.

Mengulas lanjut, MBSA menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku dalam kalangan warganya.

“Semua warga kerja perlu sentiasa mematuhi peraturan, menjaga imej perkhidmatan awam serta beretika ketika menjalankan tugas,” menurut kenyataan itu lagi.

Dalam masa sama, MBSA menegaskan komitmen berterusan untuk memperkukuh budaya integriti dan profesionalisme dalam kalangan kakitangannya, selaras dengan tanggungjawab sebagai agensi perkhidmatan awam yang menjadi contoh kepada masyarakat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619