SHAH ALAM, 3 MAC: Bukan sekadar berjimat, amalan membawa bekal kini menjadi gaya hidup dalam kalangan penjawat awam yang mementingkan kesihatan.
Trend ini semakin ketara termasuk dalam kalangan kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), khususnya di Jabatan Kontrak dan Ukur Bahan.
Penolong Pengarahnya, Amin Alias berkata beliau sudah lama menjadikan amalan membawa bekal sebagai sebahagian daripada rutin hariannya, sejak sebelum keadaan ekonomi mencabar.
Menurut beliau, amalan tersebut bukan sahaja membantu mengawal perbelanjaan harian, malah memastikan pemakanan lebih sihat.
“Membawa bekal bukan sahaja membantu saya mengawal kos makanan harian, malah menjaga kesihatan melalui pemakanan yang lebih baik,” katanya ketika ditemui Media Selangor di Wisma MBSA di sini.

Bawa bekal tidak jejaskan hubungan sosial
Amin turut menegaskan amalan itu tidak menjejaskan hubungan sosial di tempat kerja kerana beliau masih meluangkan masa makan bersama rakan sekerja.
“Saya juga ada mengikuti rakan-rakan makan di luar, namun masih mengekalkan amalan membawa bekal,” katanya.
Sementara itu, Faiz Zaharudin yang juga kakitangan jabatan tersebut berkata, amalan membawa bekal memberi kelebihan dari segi kebersihan makanan selain lebih menjimatkan.
“Apabila membawa bekal, makanan dari rumah lebih terjamin kebersihannya berbanding makanan yang dibeli di luar,” katanya.

Menurutnya, kos makan di luar boleh mencecah sekitar RM30 sehari, berbanding menyediakan bekal yang jauh lebih rendah.
“Kalau ikut diet, mungkin berubah-ubah mengikut cita rasa masing-masing, tetapi secara keseluruhan ia lebih menjimatkan,” katanya.
Bawa bekal jadi strategi urus kewangan keluarga
Bagi pembantu pentadbir di jabatan itu, Rohaini Abu Salleh, amalan membawa bekal menjadi antara cara penting mengurus kewangan keluarga, terutama dengan tanggungjawab membesarkan lima anak.

“Saya memperuntukkan kira-kira RM300 seminggu untuk bahan basah sahaja, belum termasuk barangan lain,” katanya.
Beliau berkata pengurusan masa yang baik memudahkan penyediaan bekal tanpa menjejaskan rutin harian.
“Menu boleh dipelbagaikan secara kreatif termasuk melalui persediaan awal seperti makanan sejuk beku,” katanya.










