SHAH ALAM, 22 APRIL: Kerajaan Selangor sedang meneroka pelbagai pendekatan bagi menangani isu banjir dengan perincian mengenainya dijangka diumumkan selewat-lewatnya Jun atau Julai ini.
Dato’ Menteri Besar berkata semua aspek sedang diteliti termasuk kerjasama dengan Belanda dan pihak berkaitan, manakala maklumat terperinci akan diumumkan EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim selepas semua perancangan dimuktamadkan.
“Kita sedang meneroka semua aspek termasuk kerjasama dengan Belanda dan pihak berkaitan. Sejak 2023 hingga 2024, beberapa pertemuan telah diadakan dengan wakil dari negara itu.
“Bagaimanapun, setakat ini ia masih di peringkat Memorandum Kerjasama dan hanya melibatkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), belum lagi diperluaskan ke peringkat negeri,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.
Kelmarin, ketika Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-15, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sekali lagi menasihati Kerajaan Negeri supaya memberi keutamaan penuh terhadap usaha menangani masalah banjir melalui perancangan rapi dan tindakan segera yang lebih berkesan.
Baginda turut bertitah bahawa sebelum ini telah beberapa kali menggesa Kerajaan Negeri mendapatkan pandangan serta kepakaran pakar antarabangsa, khususnya dari Belanda, bagi merangka pendekatan terbaik dalam menangani isu banjir yang berlarutan.
"Kita tidak ada usaha pembalakan secara komersial, sebaliknya hanya kerja pembersihan atas sebab tertentu seperti projek infrastruktur," katanya.
Menurut beliau, antara projek terlibat termasuk pembangunan lebuhraya dan rangkaian kabel elektrik yang memerlukan kerja-kerja pembersihan kawasan secara terhad dan terkawal.








