SHAH ALAM, 20 APRIL: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menitahkan Reformasi Sistem Tadbir Urus (RSTU) melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) digerakkan secara pantas bagi memastikan sistem penyampaian kerajaan lebih cekap dan berkesan.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah langkah itu penting memandangkan PBT merupakan agensi barisan hadapan yang berurusan secara terus dengan rakyat serta memberi kesan kepada kehidupan harian mereka.
“Beta berharap reformasi PBT ini dapat digerakkan secara pantas termasuk proses kelulusan, contohnya permit ubah suai rumah yang boleh dibuat dalam tempoh kurang daripada 24 jam.
“Ini termasuk juga mengamalkan budaya memberi maklum balas pantas kepada setiap aduan rakyat dan persatuan penduduk melibatkan perkara asas seperti kebersihan, kutipan sampah, ataupun pembaikan jalan dan lampu jalan,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 yang berlangsung di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
RSTU yang diperkenalkan pada Ogos tahun lalu menjadi pemacu utama pelaksanaan dasar negeri serta penyelarasan dengan dasar Kerajaan Persekutuan.
Inisiatif itu menumpukan lima objektif utama bagi memperkukuh sistem penyampaian dan tadbir urus yang lebih cekap serta berimpak kepada rakyat.
Selain itu, ia turut merangkumi lapan fokus strategik iaitu tadbir urus dan integriti, reformasi penyampaian, pemecahan budaya silo, reformasi aduan, modal insan, pemerkasaan akar umbi, pengukuran dan pemantauan program serta penilaian berasaskan hasil.








