Tragedi kemanusiaan: Bantuan segera digerakkan bantu ribuan warga Kampung Bahagia

19 Apr 2026, 9:12 AM
Tragedi kemanusiaan: Bantuan segera digerakkan bantu ribuan warga Kampung Bahagia

KOTA KINABALU, 19 APRIL: Kebakaran besar yang memusnahkan 1,000 rumah di Kampung Bahagia, Sandakan awal pagi tadi disifatkan sebagai satu tragedi kemanusiaan yang mendukacitakan seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersama agensi berkaitan telah digerakkan dengan segera ke lokasi berkenaan bagi membantu mangsa.

Beliau berkata operasi agensi tersebut merangkumi proses menyelamat, pemindahan mangsa, pendaftaran, serta penyediaan bantuan awal di pusat penempatan sementara (PPS).

Menzahirkan rasa pilu atas musibah itu, beliau berkata kesedihan yang dialami oleh penduduk Kampung Bahagia turut dirasai seluruh rakyat Malaysia.

"Bayangkan, dalam satu malam ada anak-anak yang kehilangan tempat berteduh, ibu bapa yang kehilangan segala harta benda, dan keluarga yang kini tinggal sehelai sepinggang dengan hanya pakaian di badan.

"Insiden ini bukan sekadar kebakaran, ia adalah satu tragedi kemanusiaan yang telah memusnahkan hampir 1,000 buah rumah dan menjejaskan ribuan penduduk dalam sekelip mata," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kebakaran di perkampungan atas air Kampung Bahagia, Sandakan pada 19 April 2026 yang memusnahkan 1,000 rumah. Foto Facebook BERNAMA

Mustapha turut memberi jaminan mangsa yang terlibat tidak akan dibiarkan bersendirian dalam menghadapi saat sukar itu.

Beliau berkata Kerajaan MADANI bersama-sama Kerajaan Negeri Sabah akan memastikan segala bentuk bantuan disalurkan secepat mungkin dengan usaha pemulihan digerakkan penuh komitmen.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga Sabah untuk terus bersatu hati menghulurkan sumbangan serta mendoakan kesejahteraan mereka kerana bantuan fizikal semata-mata tidak mampu mengubati trauma mangsa.

"Dalam saat sebegini, kita tidak boleh biarkan mangsa menghadapi ujian ini sendirian. Insya-Allah, daripada abu ini, kita akan bangkit semula," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619