SHAH ALAM, 19 APRIL: Sekurang-kurangnya 200 rumah musnah dalam kebakaran yang melanda perkampungan atas air di Kampung Bahagia, Sandakan pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.32 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.
Menurutnya, seramai 35 anggota termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan terlibat dalam operasi memadam kebakaran yang masih diteruskan sehingga pagi ini.
“Pasukan bomba menghadapi kesukaran untuk memasuki kawasan kebakaran berikutan laluan yang sempit, sekali gus menyukarkan pergerakan jentera.
“Selain itu, keadaan air laut yang surut turut menjejaskan usaha mendapatkan sumber air terbuka bagi memadamkan kebakaran,” katanya ketika dihubungi, lapor Berita Harian.
Beliau berkata faktor angin kencang serta kedudukan rumah yang rapat menyebabkan api merebak dengan pantas, sekali gus memusnahkan sebahagian besar kediaman di kawasan berkenaan.
Setakat ini, usaha memadam kebakaran masih giat dijalankan dan jumlah sebenar mangsa terjejas sedang dikenal pasti.










