SHAH ALAM, 19 APRIL: Wakil rakyat digesa memanfaatkan sepenuhnya persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) untuk membahaskan isu kos sara hidup serta cabaran ekonomi yang dihadapi ketika ini.
Timbalan Speaker Mohd Kamri Kamaruddin berkata sidang kali ini memberi ruang lebih luas kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) untuk berbahas berikutan hanya satu rang undang-undang berkaitan perhutanan dijangka dibentangkan.
"Sidang kali ini diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua ahli Dewan untuk membahaskan isu penting, khususnya melibatkan kos sara hidup dan tekanan ekonomi rakyat.
"Kita jangka masa perbahasan akan dipanjangkan sekitar 10 hingga 15 minit bagi membolehkan ADN memperincikan perkara berbangkit, tertakluk kepada ketetapan Speaker," katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata, lebih 800 soalan dijangka dikemukakan sepanjang sidang berlangsung, dengan sebahagian daripadanya menyentuh perkembangan di Asia Barat serta langkah Kerajaan Negeri dalam menangani implikasi terhadap ekonomi dan rakyat.

"Terdapat 313 soalan lisan dan 404 bertulis. Banyak soalan terutama berkaitan perkembangan di Asia Barat dan kesannya kepada keadaan semasa dijangka dibangkitkan.
"Kita juga akan melihat perancangan Kerajaan Negeri dalam menangani isu ini, khususnya dari sudut ekonomi dan kebajikan rakyat," jelasnya.
Beliau berkata wakil rakyat turut diberi ruang mengetengahkan isu kawasan bagi memastikan suara rakyat dapat disampaikan dengan lebih berkesan.
"Selain isu dasar, wakil rakyat juga diberi ruang mengetengahkan isu kawasan supaya suara rakyat dapat disampaikan," tambahnya lagi.
Beliau memaklumkan persiapan sidang DNS berjalan lancar dengan kerjasama pelbagai agensi bagi memastikan perjalanan persidangan berlangsung teratur.
Menurutnya, sidang selama 12 hari bermula esok dijangka memberi tumpuan kepada langkah intervensi Kerajaan Negeri dalam menangani tekanan ekonomi semasa.
"Perbahasan kali ini dijangka tertumpu kepada isu kos sara hidup serta usaha Kerajaan Negeri merangka langkah intervensi bagi membantu rakyat menghadapi situasi semasa.
"Ini termasuk pendekatan dan penambahbaikan dasar yang boleh dilaksanakan mengikut keperluan semasa," katanya.
Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan pembukaan Sidang DNS Pertama bagi Penggal Keempat 2026 yang bermula esok.









