Isu Rohingya, kos diesel dibawa ke Sidang DUN Selangor

17 Apr 2026, 1:01 PM
Isu Rohingya, kos diesel dibawa ke Sidang DUN Selangor

SHAH ALAM, 17 APRIL: Ahli Dewan Negeri (ADN) Teratai akan membawa lambakan isu pelarian Rohingya serta kenaikan kos diesel ke Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang akan datang.

Yew Jia Haur berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada penduduk berhubung kehadiran pelarian Rohingya yang semakin ketara di kawasan sekitar Teratai.

“Antara lokasi yang sering dilaporkan termasuk kawasan perumahan, padang permainan, kaki lima serta lorong belakang premis perniagaan.

“Beberapa sesi pertemuan dan dialog telah diadakan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN), pihak polis, Jabatan Imigresen serta Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) namun tiada satu agensi yang mempunyai tanggungjawab penuh dalam menguruskan isu pelarian Rohingya di negara ini.

“Isu ini bukan sahaja akan dibawa di peringkat Dewan Negeri, malah kita mahu menarik perhatian kerajaan pusat kerana ia melibatkan dasar dan bidang kuasa lebih luas,” katanya kepada Media Selangor.

Dalam perkembangan lain, Jia Haur turut akan membangkitkan isu kenaikan kos diesel yang memberi kesan langsung kepada operasi KDEB Waste Management (KDEBWM).

“Pengarah Urusannya Dato’ Ramli Mohd Tahir KDEBWM telah menyatakan bahawa kos diesel kini mencecah kira-kira RM4 juta sebulan. Ini satu beban besar kepada operasi.

“Jadi, saya akan mengemukakan soalan kepada EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berhubung langkah yang akan diambil Kerajaan Negeri bagi membantu KDEBWM mengekalkan tahap perkhidmatan kepada rakyat,” ujarnya lagi.

Selain itu, Jiar Haur memberitahu isu kekurangan ruang bagi depoh kenderaan turut akan diketengahkan pada sidang DNS yang akan bermula pada Isnin depan.

“Ruang sedia ada adalah terhad dan saya berharap Kerajaan Negeri bukan sahaja dapat membantu Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) tetapi semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor bagi mencari lokasi sesuai untuk melaksanakan operasi tunda (towing) secara lebih berkesan,” jelasnya.

Mengulas harapan terhadap sidang DNS kali ini, beliau berharap lebih banyak dasar dan polisi kebajikan dapat digubal bagi membantu rakyat menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah memberi perkenan pembukaan Sidang DNS Pertama bagi Penggal Keempat 2026 yang dijadualkan bermula 20 April ini.

Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San berkata Sultan Selangor juga dijangka berangkat bagi merasmikan pembukaan sidang berkenaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619