Karnival kerjaya Selangor tawar 70,000 pekerjaan termasuk bergaji tinggi

18 Apr 2026, 11:01 AM
Karnival kerjaya Selangor tawar 70,000 pekerjaan termasuk bergaji tinggi
Karnival kerjaya Selangor tawar 70,000 pekerjaan termasuk bergaji tinggi

SHAH ALAM, 18 APR: Lebih 70,000 peluang pekerjaan, termasuk jawatan berpendapatan tinggi ditawarkan menerusi Karnival Kerjaya JobCare Selangor sepanjang tahun ini.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata program di sembilan daerah, termasuk penganjuran dua edisi khas iaitu JobCare Premium dan JobCare Istimewa, dijangka menarik penyertaan majikan tempatan dan antarabangsa sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Tahun lepas, kita telah menawarkan lebih kurang 70,000 pekerjaan. Jadi bagi tahun ini mungkin akan meningkat atau sekitar angka itu.

“Ini termasuk menerusi JobCare Premium yang menawarkan pekerjaan berpendapatan tinggi seperti bidang AI (Kecerdasan Buatan), IC Design dan aeroangkasa yang dijangka dianjurkan pada Jun atau Julai.

“Selain itu, JobCare Istimewa dijadual Oktober akan membuka peluang pekerjaan kepada golongan rentan, seperti OKU dan warga emas,” katanya kepada Media Selangor.

Menurutnya, sektor perkhidmatan terus menjadi penyumbang utama peluang pekerjaan dalam siri karnival itu diikuti sektor pembuatan, pembinaan dan perladangan.

“Trend sekarang menunjukkan ramai tenaga kerja sedang beralih bidang dan meningkatkan kemahiran bagi memenuhi keperluan pasaran semasa.

“Ini yang saya nampak semasa program jelajah JobCare di Banting, ramai anak muda yang datang ada juga dari luar Selangor membuktikan yang program ini memberi manfaat kepada ramai.

“Tidak kisah mereka datang dari mana, di sini mereka boleh belajar apakah pasaran pekerjaan yang ada pada masa kini atau bagi yang kehilangan pekerjaan kita membuka peluang begitu banyak pekerjaan jadi itu menunjukkan trend menukar petua.

“Ada juga yang belajar menambah atau meningkatkan kemahiran selepas menyertai program ini untuk pastikan mereka siapkan diri, tambah baik kemahiran diri supaya ke tahap yang lebih tinggi dan sebagainya,” katanya.

Jelasnya, bagi penganjuran Karnival Jelajah JobCare di daerah Petaling pada 25 April, sebanyak 4,000 hingga 5,000 kekosongan jawatan bakal ditawarkan melibatkan kira-kira 48 majikan di The Curve, Mutiara Damansara.

Sebelum ini, Papparaidu berkata Kerajaan Negeri komited memastikan rakyat terus mempunyai pekerjaan dan tidak terbeban meskipun negara berdepan krisis Asia Barat.

Jelas beliau, Selangor akan terus menganjurkan karnival kerjaya bagi menjamin peluang pendapatan serta kelangsungan hidup rakyat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619