Ketidaktentuan ekonomi, pekerja diminta kekal kerja sedia ada

16 Apr 2026, 4:00 AM
Ketidaktentuan ekonomi, pekerja diminta kekal kerja sedia ada

SHAH ALAM, 16 APRIL: Pekerja dinasihatkan supaya kekal dalam pekerjaan sedia ada dan mengelakkan perubahan kerjaya secara mengejut ketika pasaran pekerjaan berdepan ketidaktentuan akibat tekanan ekonomi global.

EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu Veraman berkata pekerja perlu lebih berhati-hati dalam membuat keputusan kerjaya serta sentiasa memantau perkembangan ekonomi semasa.

“Apa sahaja pekerjaan yang anda ada sekarang, sebaiknya kekalkan dahulu. Banyak ketidaktentuan dalam pasaran kerja dan ada jangkaan ekonomi akan menjadi perlahan dalam masa terdekat,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau mengulas laporan Hong Leong Investment Bank yang memetik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), yang menunjukkan Selangor dan Kuala Lumpur mencatatkan kes kehilangan pekerjaan (LOE) tertinggi pada Mac.

EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Papparaidu Veraman bercakap kepada media selepas program Ziarah Kasih ICU JPM Selangor kepada waris allahyarham Amirul Hafiz Omar di Pangsapuri Rimba Jaya Shah Alam pada 4 April 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Menurut laporan itu, Selangor menyumbang 29.3 peratus daripada jumlah kes, diikuti Kuala Lumpur sebanyak 25.6 peratus. Secara keseluruhan, Malaysia merekodkan 5,900 kehilangan pekerjaan pada Mac, menurun 21.3 peratus berbanding 7,500 kes pada Februari.

Dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran, beliau menggesa pelajar dan pencari kerja muda supaya menambah kemahiran serta mendapatkan sijil tambahan.

“Walaupun sudah ada ijazah, kemahiran tetap memainkan peranan penting. Ambil kursus tambahan dan dapatkan sijil untuk menguatkan resume.

“Ia akan membantu anda lebih bersedia apabila menghadiri temu duga pada masa hadapan,” katanya.

Papparaidu turut berkata Malaysia perlu menilai semula strategi ekonomi bagi memastikan kestabilan jangka panjang dalam keadaan global yang tidak menentu akibat konflik di Asia Barat.

“Kita perlu fikir semula bagaimana memanfaatkan sumber seperti tenaga hidro, tenaga solar dan alternatif lain,” katanya.

Beliau menambah, kepelbagaian pasaran eksport juga boleh membantu mengukuhkan daya tahan ekonomi negara.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu (kanan) beramah mesra dengan orang ramai dalam Karnival Kerjaya Jobcare Selangor 2024 di Dewan Perbandaran MPAJ, Pandan Indah, Ampang pada 17 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Selangor akan terus berusaha menarik pelaburan serta mengembangkan industri berkemahiran tinggi bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang mampan.

“Kita sedang berusaha membawa lebih banyak syarikat ke Selangor termasuk dalam sektor seperti reka bentuk litar bersepadu dan industri berkemahiran tinggi,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619