SHAH ALAM, 17 APRIL: Bekas pemandu bas ekspres dan teman wanitanya yang tular meriba ketika memandu dihukum penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Arif Fahmi Abd Salam, 36, dipenjara setahun manakala Nur Adila Najwa Ilham Ameerrullah, 21, dipenjara enam bulan serta masing-masing didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah, lapor Berita Harian.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani tambahan dua bulan penjara jika gagal membayar denda selain hilang kelayakan memiliki atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun.
Kedua-duanya mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memandu bas bernombor pendaftaran APE 9588 secara berbahaya kepada orang awam di susur keluar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bemban, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, kira-kira 7.30 malam pada 12 April lalu.
Kes itu sebelum ini mencetuskan perhatian selepas rakaman video aksi berbahaya tersebut tular di media sosial.




