Polis kesan pemandu bas ekspres, wanita duduk di riba

14 Apr 2026, 1:46 AM
Polis kesan pemandu bas ekspres, wanita duduk di riba

JASIN, 14 APRIL: Polis sedang mengesan seorang pemandu bas ekspres lelaki serta seorang wanita yang dipercayai kenalannya bagi membantu siasatan berhubung satu rakaman video tular di media sosial yang memaparkan kejadian memandu dalam keadaan berbahaya di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) di daerah ini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Jasin Supt Lee Robert berkata video berdurasi lapan saat yang dimuat naik di Facebook itu menunjukkan wanita berkenaan duduk di atas riba pemandu ketika kenderaan sedang bergerak.

"Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berlaku pada 12 April lepas kira-kira 7.30 malam di kawasan susur masuk Rehat dan Rawat (R&R) Bemban arah selatan dan rakaman video kejadian itu dikesan tular 13 April kira-kira 5.30 petang oleh pihak polis.

"Sehubungan itu polis memohon kerjasama individu yang terlibat dalam rakaman video berkenaan agar tampil segera ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Lee berkata perbuatan itu amat berbahaya kerana boleh menjejaskan kawalan kenderaan, mengganggu tumpuan pemandu serta membahayakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat Insp Marwan Shafiq Mohd Latfi di talian 011-11127533 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619