Kerajaan galak langgan Solar ATAP, kurangkan kesan kenaikan kos elektrik

17 Apr 2026, 2:26 AM
Kerajaan galak langgan Solar ATAP, kurangkan kesan kenaikan kos elektrik

PUTRAJAYA, 17 APRIL: Kerajaan menggalakkan pengguna domestik dan bukan domestik melanggan Program Peralihan Tenaga Solar yang Diperkukuhkan (Solar ATAP) bagi meningkatkan kemampanan tenaga kendiri serta mengurangkan kesan ketidaktentuan harga elektrik susulan krisis tenaga global.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan program yang dilaksanakan sejak 1 Jan lepas itu bertujuan menggalakkan pemasangan sistem solar di atas bumbung, seterusnya mewujudkan nilai ekonomi kepada pengguna melalui pengurangan kos tenaga, bukannya aliran tunai langsung.

Menurut PETRA, usaha itu selari dengan pendekatan Malaysia yang menekankan kecekapan tenaga dan mengoptimumkan penggunaan sendiri.

"Program ini dijangka boleh meningkatkan kemapanan kendiri tenaga dan seterusnya mengurangkan kesan ketidaktentuan harga elektrik semasa," menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian itu, bagi pengguna bukan domestik, pelbagai model perolehan seperti pajakan dan sewa beli solar turut disediakan oleh syarikat pemasangan yang membolehkan penggunaan tenaga boleh baharu tanpa memerlukan modal awal.

"Bagi membolehkan program Solar ATAP ini menjadi lebih terjangkau kepada semua pihak, terutamanya bagi mengimbangi kesan negatif akibat krisis tenaga global, PETRA sedang merangka penambahbaikan ke atas program Solar ATAP, khususnya untuk pengguna domestik," menurut kenyataan itu.

PETRA memaklumkan pengguna kategori voltan sederhana (MV), voltan tinggi (HV) dan voltan tinggi ultra (UHV) yang memerlukan harga elektrik stabil, program Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) boleh dipertimbangkan sebagai pilihan mendapatkan bekalan elektrik hijau untuk jangka masa panjang.

Syarikat yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program itu boleh menghubungi pembeli tunggal atau memuat turun Garis Panduan CRESS di laman web Suruhanjaya Tenaga di pautan https://www.st.gov.my/CRESS-guidelines.

Dalam pada itu, PETRA turut menggalakkan pengguna mengamalkan penggunaan tenaga secara cekap termasuk menetapkan suhu penyaman udara pada 24 darjah Celsius, memilih peralatan elektrik cekap tenaga serta memanfaatkan skim Tarif Pengguna Masa (ToU) bagi mengoptimumkan kos penggunaan elektrik.

"PETRA yakin bahawa semua inisiatif ini mampu membantu rakyat dalam mengurangkan beban kos tenaga dan seterusnya menjadi pemangkin strategik dalam memperkukuh landskap tenaga negara untuk jangka masa yang panjang," menurut kenyataan itu.

Menurut PETRA, usaha itu selaras dengan dasar semasa kerajaan untuk memastikan elemen Energy Trilemma iaitu keselamatan bekalan, mampu bayar dan kemampanan sentiasa terjaga untuk semua.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619