SHAH ALAM, 25 APRIL: Tekanan kos sara hidup di bandar kini menjadikan golongan berpendapatan sederhana turut berdepan kesukaran kewangan, meskipun dilihat stabil dari luar.
Ketua Cawangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Kuala Lumpur, Mohd Nordin Abd Rahman berkata gaji sekitar RM5,000 hingga RM6,000 di kawasan bandar besar sebenarnya hanya cukup-cukup untuk menampung keperluan asas, khususnya bagi mereka yang berkeluarga.
“Kalau tinggal di bandar, gaji RM5,000 hingga RM6,000 itu bukanlah satu jumlah yang besar.
"Dengan komitmen rumah, kereta dan anak, kebanyakannya hanya cukup-cukup sahaja,” jelasnya menerusi program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.
Menurut beliau, walaupun golongan B40 lebih terkesan dari segi pendapatan rendah, golongan M40 dan profesional pula berdepan tekanan berbeza, termasuk keperluan mengekalkan gaya hidup selari dengan status sosial.
“Ada dalam kalangan mereka terpaksa mengekalkan gaya hidup walaupun sebenarnya kewangan tidak begitu kukuh.
"Ini yang menyebabkan mereka juga terhimpit tanpa disedari,” katanya.
Bahaya budaya ‘diam dan pendam’
Dalam pada itu, Mohd Nordin berkata sikap memendam masalah kewangan tanpa mendapatkan bantuan hanya akan memburukkan keadaan dan boleh menjadi ‘bom jangka’ kepada individu terlibat.
“Masalah kewangan yang dipendam ini ibarat bom jangka. Dipendam lama-lama, satu masa nanti ia akan meletus apabila individu sudah tidak mampu lagi mengawal tekanan,” tegasnya.
Beliau menjelaskan antara faktor utama individu memilih untuk berdiam diri ialah stigma masyarakat serta rasa malu untuk mengakui kegagalan mengurus kewangan.
“Ada yang rasa kalau mereka berkongsi, mereka akan dilabel gagal.
"Malah ada juga yang tidak berani beritahu pasangan sendiri kerana takut menambah masalah,” katanya.
Menurutnya, situasi itu bukan sahaja memberi kesan kepada kewangan, malah boleh menjejaskan emosi, hubungan kekeluargaan dan prestasi kerja.
“Bila tiada komunikasi dalam keluarga, tekanan kewangan itu boleh merebak menjadi masalah lain termasuk konflik rumah tangga dan gangguan emosi,” katanya.












