Permohonan ke AKPK melonjak, tanda tekanan kewangan rakyat membimbangkan

25 Apr 2026, 12:00 PM
Permohonan ke AKPK melonjak, tanda tekanan kewangan rakyat membimbangkan
Permohonan ke AKPK melonjak, tanda tekanan kewangan rakyat membimbangkan
Permohonan ke AKPK melonjak, tanda tekanan kewangan rakyat membimbangkan
Permohonan ke AKPK melonjak, tanda tekanan kewangan rakyat membimbangkan

SHAH ALAM, 24 APRIL: Permohonan bantuan kepada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, mencerminkan tekanan kewangan yang semakin membimbangkan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ketua Cawangan AKPK Kuala Lumpur, Mohd Nordin Abd Rahman berkata jumlah permohonan meningkat daripada sekitar 36,000 kes pada 2022 kepada lebih 73,000 kes tahun lalu, hampir dua kali ganda dalam tempoh singkat.

“Kalau kita tengok daripada tahun 2022 hingga tahun lepas, peningkatan itu hampir 100 peratus.

"Ini menunjukkan semakin ramai berdepan masalah kewangan dan memerlukan bantuan untuk menyusun semula komitmen mereka,” katanya menerusi program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Ketua Cawangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Kuala Lumpur, Mohd Nordin Abd Rahman ketika program Bicara Semasa terbitan Media Selangor siaran 21 April 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Menurut beliau, kebanyakan individu hanya tampil mendapatkan bantuan apabila keadaan kewangan sudah berada pada tahap kritikal.

“Kebanyakan datang bila rumah dah nak kena lelong, bila pemungut hutang dah hubungi bertalu-talu dan tahap tekanan itu sudah terlalu tinggi,” jelasnya.

Tanda awal ramai tak sedar

Mohd Nordin berkata, ramai sebenarnya tidak menyedari tanda awal mereka sedang berdepan tekanan kewangan sekali gus menyebabkan masalah menjadi lebih serius.

“Kalau kita guna kad kredit tetapi hanya mampu bayar minimum setiap bulan, itu sebenarnya tanda awal.

Sepatutnya kita bayar penuh, bukan sekadar minimum,” katanya.

Beliau turut menjelaskan amalan seperti penggunaan ‘beli sekarang bayar kemudian’ (BNPL) secara berlebihan serta mengambil pinjaman baharu untuk melangsaikan hutang lama adalah antara petunjuk jelas seseorang berada dalam risiko kewangan.

“Kalau kita asyik guna ‘buy now pay later’ atau gali lubang tutup lubang, itu bukan menyelesaikan masalah tetapi menambah beban hutang,” katanya.

AKPK bukan untuk ‘orang gagal’

Dalam masa sama, beliau menegaskan masih ramai yang mempunyai persepsi salah terhadap AKPK, termasuk menganggap mendapatkan bantuan agensi itu akan menjejaskan reputasi kewangan mereka.

“Ada yang takut datang ke AKPK sebab ingat akan disenarai hitam atau dianggap gagal. Sebenarnya tidak.

"AKPK diwujudkan untuk membantu, bukan menghukum,” tegasnya.

Menurutnya, perkhidmatan yang ditawarkan AKPK adalah percuma dan bertujuan membantu individu mengurus serta menyusun semula kewangan agar tidak sampai ke tahap muflis.

“Kita sebenarnya bantu elakkan individu diisytiharkan bankrap dengan menyusun semula bayaran mengikut kemampuan semasa mereka,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat daripada sumber sah dan tidak terperdaya dengan pihak ketiga yang mengenakan bayaran untuk perkhidmatan berkaitan AKPK.

“Perkhidmatan AKPK adalah percuma dan kita tidak melantik ejen. Jadi orang ramai perlu berhati-hati,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619