SHAH ALAM, 14 APRIL: Keupayaan berinovasi kini menjadi keperluan kritikal dalam sektor awam bagi memastikan perkhidmatan kerajaan kekal relevan, tangkas dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran semasa.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata sektor awam perlu bergerak lebih pantas serta berpandangan jauh dalam merangka penyelesaian yang bukan sahaja responsif, malah mampu menjangka cabaran lebih awal.
“Sudah tiba masanya untuk kita membangunkan model inovasi yang berakar pada realiti Malaysia kerana kita ada asas inovasi domestik yang begitu kukuh.
“Banyak peluang dan spektrum inovasi yang boleh kita terokai serta terjemahkan melalui pelbagai pendekatan praktikal seperti penggunaan analitik data raya bagi meramal keperluan rakyat secara lebih tepat serta pendigitalan menyeluruh perkhidmatan kerajaan bagi mempercepat penyampaian,” katanya.

Beliau berucap meluncurkan Dasar Pembaharuan Tadbiran Sektor Awam sempena Majlis Semarakkan Inovasi Sektor Awam 2026 di Pusat Konvensyen MBSA di sini hari ini.
Menurutnya, nilai sebenar inovasi dalam sektor awam bukanlah sekadar berdaya cipta dalam teknologi baharu, tetapi juga memperbaharui sistem, memperbaiki proses serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Ia juga bukan semata-mata menghasilkan projek atau memenangi anugerah, tetapi berkait rapat dengan kesannya kepada kehidupan rakyat, bagaimana ia memudahkan urusan, mempercepat penyampaian dan meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan,” katanya.
Menurutnya, ke arah pendigitalan sektor awam, semua Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Pengarah Jabatan sudah diarah mengemukakan laporan bulanan pelaksanaan pendigitalan dalam jabatan masing-masing.
Selain itu, katanya Dasar Pembaharuan Tadbiran Sektor Awam yang berfokuskan penekanan kepada inovasi, pendigitalan dan fleksibiliti kerja sebagai teras utama transformasi menjadi landasan penting dalam memperkasa usaha reformasi secara menyeluruh dan bersepadu.
“Ia sekadar dokumen dasar, tetapi merupakan kompas strategik yang menggariskan hala tuju pembaharuan pentadbiran awam berteraskan kecekapan, ketangkasan dan keberhasilan berimpak tinggi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz mahu penjawat awam menjadikan inovasi sebagai budaya kerja dengan prinsip yang betul.

“Ini kerana tekad reformasi bagi memperbaharui sektor awam akan berjaya apabila inovasi dilaksanakan seiring integriti dan komitmen bersama.
“Inovasi bukan sekadar mencipta aplikasi baharu atau memenangi anugerah namun ia perlu menjadi budaya kerja zaman mutakhir ini,” katanya.










