KPKT terajui usaha jimat tenaga, lebih 400 projek rendah karbon siap tahun ini

14 Apr 2026, 8:35 AM
KPKT terajui usaha jimat tenaga, lebih 400 projek rendah karbon siap tahun ini

PUTRAJAYA, 14 APRIL: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) menjangkakan lebih 400 projek rendah karbon akan disiapkan menjelang akhir tahun ini, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menangani cabaran krisis tenaga global dan melaksanakan penjimatan tenaga.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI terhadap pembangunan mampan, JKT telah menetapkan sasaran pelaksanaan lebih 200 projek rendah karbon setiap tahun bermula tahun lepas.

“Pelaksanaan inisiatif ini bukan sahaja menyokong agenda kelestarian negara, malah berupaya mengurangkan kos utiliti pihak berkuasa tempatan (PBT) secara signifikan.

“Setakat Disember lepas, sebanyak 131 projek pemasangan lampu tenaga solar telah dilaksanakan melibatkan 1,992 unit lampu dengan nilai keseluruhan RM15.34 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Nga berkata sebanyak 136 projek pemasangan lampu LED cekap tenaga, yang kini telah siap sepenuhnya turut dilaksanakan melibatkan 4,513 unit lampu dengan nilai RM22.39 juta.

Beliau berkata KPKT akan terus memperkukuh pelaksanaan inisiatif rendah karbon di seluruh negara dengan memperluas penggunaan teknologi hijau dan mampan menerusi kerjasama strategik bersama PBT, agensi berkaitan serta pihak industri.

“Usaha ini selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI bagi mempercepatkan peralihan ke pembangunan rendah karbon serta mengurangkan penggunaan tenaga,” katanya.

KPKT semalam mengeluarkan kenyataan menggesa 156 PBT seluruh negara melaksanakan enam langkah segera untuk menjimatkan penggunaan tenaga.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619