SHAH ALAM, 7 APRIL: Penduduk di Sungai Long, Cheras bakal menikmati kemudahan pasar kekal apabila projek itu dijadual dibina di kawasan berkenaan bermula Julai ini.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang David Cheong berkata projek di tapak Pasar Sungai Long itu dilaksanakan dengan peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bernilai RM15 juta.
“Tiada pasar awam di kawasan sekitar ini, namun dengan adanya kemudahan ini seluas 5.6 ekar, ia dapat memanfaatkan ribuan penduduk dan tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkan keperluan asas.
“Namun, kita berharap reka bentuk pasar khususnya kawasan parkir dapat dikaji semula kerana ia tidak mencukupi untuk peniaga dan pengunjung,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Beliau turut menegaskan projek tersebut perlu dirancang secara menyeluruh bagi memastikan keselesaan semua pihak.
“Parkir agak terhad dan harap mereka teliti lagi selain pastikan laluan masuk lori untuk menghantar barangan tidak mengganggu lalu lintas,” ujarnya.
Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming memaklumkan sejumlah RM136.7 juta diperuntukkan bagi membina pasar awam baharu serta menaik taraf pasar sedia ada di seluruh negara.
Menurutnya, langkah itu selaras usaha kerajaan untuk memberi nafas baharu kepada pasar awam agar lebih moden dan menarik.
Antara projek terlibat ialah pembinaan Pasar Taman Muda Ampang di Selangor (RM35 juta), naik taraf Pasar Gong Pauh, Terengganu (RM15 juta), pembinaan Pasar Besar Kuala Pilah, Negeri Sembilan (RM11.7 juta) serta Pasar Besar Kuala Krai, Kelantan (RM15 juta).
Turut termasuk pembinaan Pasar Besar Kajang (RM15 juta), pasar kekal di Sungai Long, Cheras (RM15 juta), naik taraf pasar besar Ipoh (RM15 juta) dan pembinaan pasar di Melaka Tengah (RM15 juta).










