SHAH ALAM, 12 APRIL: Kerajaan Selangor menetapkan sasaran 100 peratus penggunaan bas elektrik (EV) bagi perkhidmatan Bas Smart Selangor menjelang 2030.
EXCO Mobiliti Ng Sze Han berkata pihaknya turut menyasarkan 50 peratus perkhidmatan EV menjelang 2028 sebagai langkah mempercepat agenda mobiliti bersih di negeri ini.
“Dalam menghadapi ketidaktentuan harga minyak dunia serta cabaran geopolitik global, Selangor perlu menjadi negeri yang lebih berdaya tahan.
“Kita mesti melangkah lebih jauh ke arah mobiliti hijau. Bagi inisiatif Bas Smart Selangor, kita telah menetapkan sasaran yang jelas,” katanya di Facebook.
Pada masa sama, Sze Han memaklumkan sebanyak 26 bas elektrik telah beroperasi di Subang Jaya yang melibatkan 15 bas, Hulu Selangor (lima) Shah Alam (empat), Klang (satu) dan Petaling Jaya (satu).
“Mengurangkan kebergantungan kepada diesel bukan sahaja penting untuk memastikan udara yang lebih bersih, malah untuk memperkukuh daya tahan ekonomi Selangor serta memastikan negeri ini terus berada di barisan hadapan dalam agenda peralihan tenaga negara,” ujarnya.









