MB jamin petani, nelayan terus dibela walau krisis melanda

5 Apr 2026, 12:00 AM
MB jamin petani, nelayan terus dibela walau krisis melanda

SABAK BERNAM, 5 APR: Golongan petani dan nelayan tidak akan diketepikan dalam langkah bersasar yang bakal diumumkan Kerajaan Negeri bagi menangani kesan ketidaktentuan global susulan konflik Asia Barat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kedua-dua golongan itu perlu terus diberi perhatian kerana turut memainkan peranan penting sebagai penggerak ekonomi negeri.

“Kerajaan Negeri kini sedang bekerja keras meneliti perkembangan berlaku dalam tempoh terdekat. Sememangnya kita berdepan dengan tekanan, tetapi Selangor telah mula merancang untuk mendepani cabaran ini.

“Saya sudah bertemu dengan pimpinan utama dan mula merancang beberapa sokongan termasuk untuk petani, nelayan serta penggerak ekonomi utama di Sabak Bernam.

“Fokus utama adalah mengekalkan pekerjaan sektor-sektor yang ada biarpun berdepan dengan krisis selain menumpukan membantu golongan memerlukan khususnya makanan,” ucapnya.

Berucap pada Majlis Tautan Kasih D’ Desa yang berlangsung di Dewan Sri Nakhoda, Sungai Air Tawar semalam, Amirudin turut menjelaskan Kerajaan Negeri bakal memfokuskan industri tenaga hijau sebagai penyelesaian jangka masa panjang.

Jelasnya, penyelesaian itu diambil supaya mengurangkan kadar kebergantungan dengan bekalan tenaga pada masa hadapan.

Pada masa sama, Amirudin menasihatkan supaya masyarakat tidak panik berikutan bekalan makanan di Selangor mencukupi meskipun berdepan dengan krisis.

“Saya sedang memantau bekalan makanan dan beras untuk disiapkan. Setakat ini, bekalan makanan di Selangor mencukupi dan gudang makanan diusahakan dua tahun lalu mampu menampung dalam tempoh tiga bulan.

“Sekiranya tiada sokongan, gudang makanan bekalan Selangor ada namun Kerajaan Persekutuan maklumkan bekalan beras, daging kita mencukupi. Jangan panik kerana kita akan pantau bekalan dan harga setiap hari,” katanya.

Sementara itu, Amirudin mengingatkan masyarakat supaya terus bersatu hati dan bekerjasama dalam mendepani cabaran selain tidak menyalahkan orang lain.

“Ini bukan masanya berpecah belah, bersatu hati dan mempertahankan kehidupan. Setiap langkah bakal dilaksana merupakan pandangan diambil semua pihak dan Kerajaan Negeri akan terus bantu,” ujarnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619