Isu perumahan Taman Meru Makmur lebih dua dekad dibawa ke sidang DUN

3 Apr 2026, 1:15 PM
Isu perumahan Taman Meru Makmur lebih dua dekad dibawa ke sidang DUN
Isu perumahan Taman Meru Makmur lebih dua dekad dibawa ke sidang DUN
Isu perumahan Taman Meru Makmur lebih dua dekad dibawa ke sidang DUN

SHAH ALAM, 3 APRIL: Isu perumahan Taman Meru Makmur, Klang yang masih belum memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) lebih dua dekad akan dibangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan ini bagi mempercepatkan penyelesaian.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru Mariam Abdul Rashid berkata langkah itu diambil susulan aduan penduduk yang berdepan pelbagai kesulitan akibat kegagalan projek disiapkan sepenuhnya, khususnya melibatkan sistem kumbahan.

Menurutnya, isu tersebut mendapat perhatian selepas beliau menerima aduan terus daripada penduduk yang menghubunginya bagi mendapatkan bantuan serta panduan menyelesaikan masalah berkenaan.

“Saya dimaklumkan penduduk mereka masih belum memperoleh CCC dan ingin bertemu bagi mendapatkan panduan serta saluran yang sesuai untuk membawa isu ini ke perhatian pihak berkaitan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Mariam Abdul Rashid. Foto Facebook Mariam Abdul Rashid

"Mereka juga tidak pasti bagaimana menyalurkan aduan dan kepada siapa nasib mereka boleh dibela," katanya kepada Media Selangor.

Sehubungan itu, beliau akan mengadakan pertemuan bersama jawatankuasa bertindak penduduk bagi mendapatkan dokumentasi lengkap serta kronologi kes sebelum perkara tersebut dibawa ke sidang DUN.

"Setakat ini, saya sedang menunggu mereka datang untuk kita adakan perbincangan dan mendapatkan maklumat lebih terperinci. Selepas itu, saya akan bawa isu ini dalam perbahasan sidang DUN.

"Kebiasaannya, apabila sesuatu isu dibawa ke sidang DUN, tindakan susulan dapat dipercepatkan dan penyelesaian lebih tuntas dapat dicapai," jelasnya.

Beliau turut memaklumkan sudah menghubungi Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Aiman Athirah Sabu hari ini, bagi membantu mempercepatkan penyelesaian di peringkat Persekutuan.

"Tindakan lanjut adalah mendapatkan dokumen sokongan daripada penduduk sebelum dimajukan kepada Timbalan Menteri KPKT untuk tindakan susulan," ujar beliau.

Isu perumahan Taman Meru Makmur, Klang yang masih belum memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) akan dibawa dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bulan ini. Foto ADN Meru

Tambahnya, beliau juga akan berhubung dengan EXCO Perumahan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik, selain memastikan kebajikan penduduk terus terbela.

Mengulas lanjut, katanya, antara punca utama masalah tersebut ialah kegagalan pemaju asal menyiapkan sistem kumbahan yang sepatutnya diserahkan kepada Indah Water Konsortium (IWK).

"Apabila pemaju sudah tiada dan sistem kumbahan tidak disiapkan, CCC tidak dapat diperoleh. Penduduk pula terpaksa menguruskan sistem kumbahan sendiri di samping terus menanggung bayaran pinjaman perumahan," katanya.

Beliau berkata, situasi itu bukan sahaja membebankan penduduk dari segi kos, malah menimbulkan ketidakpastian terhadap status kediaman mereka.

Media Selangor sebelum ini melaporkan projek perumahan berkenaan masih gagal memperoleh CCC walaupun telah berlarutan lebih dua dekad.

Menurut Mariam, lebih 100 unit rumah bagi satu fasa terjejas, manakala beberapa fasa lain di taman berkenaan turut berdepan masalah sama susulan kegagalan pemaju menyiapkan projek, termasuk pembinaan loji kumbahan yang terbengkalai.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619