Balu, tiga anak mangsa nahas di Klang layak terima pencen Penakat Perkeso

3 Apr 2026, 8:57 AM
Balu, tiga anak mangsa nahas di Klang layak terima pencen Penakat Perkeso

SHAH ALAM, 3 APR: Balu dan tiga anak kepada penunggang motosikal yang maut dalam kemalangan di Jalan Raya Barat, Klang Ahad lalu layak menerima Pencen Penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, yang bekerja di TVH Malaysia Sdn Bhd selama 15 tahun dikenal pasti sebagai pencarum aktif di bawah skim LINDUNG Pekerja, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata hasil semakan mendapati arwah memenuhi syarat kelayakan di bawah Skim Keilatan.

“Rekod caruman Allahyarham memenuhi syarat kelayakan di bawah Skim Keilatan, sekali gus melayakkan waris menerima Pencen Penakat sebagai jaminan kewangan berterusan,” katanya.

Menurutnya, caruman yang dibuat sebelum ini kini menjadi “talian hayat” kepada balunya, Nor Nadia Abdul Majid, 32, serta tiga anak mereka.

Anak-anak pasangan itu ialah Muhammad Aqif Amsyar, 9, Muhammad Afif Izz Rayqal, 7, dan Nur Humaira, 8.

Beliau berkata demikian selepas menyantuni keluarga mangsa dan menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) kepada waris di kediaman mereka di Pangsapuri Ken Rimba, Seksyen 16, Shah Alam, lapor Berita Harian.

Mohammed Azman menjelaskan melalui manfaat Pencen Penakat, balu layak menerima bayaran bulanan sepanjang hayat manakala anak-anak menerima bantuan pendidikan sehingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama.

Jumlah keseluruhan faedah bulanan yang diterima keluarga adalah RM2,888.17 selain bantuan FPM berjumlah RM3,000 yang diserahkan pada hari sama.

“Pencen Penakat ini bahagiannya, isteri tiga perlima, anak-anak masing-masing dua perlima. Perkeso juga akan membantu dari segi pinjaman pendidikan apabila anak-anak ini melanjutkan pelajaran,” katanya.

Beliau menambah Perkeso akan terus memantau keperluan keluarga terbabit termasuk aspek pendidikan dan kebajikan anak-anak.

“Kehilangan insan tersayang tidak dapat diganti, namun perlindungan sosial yang disediakan Perkeso mampu menjadi benteng penting dalam menjamin kelangsungan hidup waris,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru majikan supaya segera mendaftar dan mencarum pekerja di bawah Akta 4 bagi memastikan perlindungan masa depan pekerja.

Pada masa sama, beliau memaklumkan perlindungan sosial turut diperluas kepada sektor informal melalui penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang berkuat kuasa 31 Mac 2026.

Akta tersebut memberi perlindungan kepada lebih 1.64 juta pekerja gig di Malaysia termasuk jaminan pampasan sekiranya berlaku kemalangan ketika bekerja.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619