HULU LANGAT, 2 APRIL: Penantian panjang untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya menjadi kenyataan buat pembeli projek Residensi Selangorku Oleander di Eco Majestic, Semenyih, di sini.
Bagi kakitangan swasta, Mohd Faizal Mohd Safaad, 42, impian memiliki rumah sendiri tercapai selepas bertahun-tahun menyewa di Shah Alam.
Menurutnya, beliau dijangka menerima kunci kediaman pada Oktober ini dan merancang untuk berpindah masuk tahun depan bersama isteri selepas mendirikan rumah tangga baru-baru ini.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor, sebab ada peluang untuk kita yang berpendapatan rendah ini untuk dapat memiliki rumah mampu milik.
“Dalam tiga tahun tunggu, Alhamdulillah siap akhirnya. Inisiatif penyediaan rumah mampu milik seperti ini bagus untuk diteruskan beri peluang untuk memiliki rumah kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Simbolik Penyerahan Kunci Projek Residensi Selangorku Oleander yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini.

Sementara itu, ejen insurans, Priscilla Wong Phui Ing, 31, meluahkan rasa gembira apabila berjaya memiliki rumah pertama kerana kini beliau masih menetap di rumah ibu bapanya.
Katanya, faktor persekitaran kediaman yang selesa dan kondusif menjadi antara tarikan utama untuk memiliki unit berkenaan.
“Saya memang suka suasana di sini. Rasa tenang dan sesuai untuk didiami. Ini rumah pertama saya dan rasanya ini tempat yang sesuai untuk bersara. Jadi memang rasa teruja,” katanya.

Bagi kakitangan swasta, V Christina, 46, kejayaan memiliki rumah sendiri dianggap satu pencapaian besar selepas sekian lama menyewa di Kajang.
Beliau menyifatkan pembelian tersebut sangat berbaloi memandangkan kediaman itu dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk perabot, televisyen dan pendingin hawa.
“Memang gembira sangat sebab akhirnya ada rumah sendiri. Selama ini menyewa sahaja. Bila dapat peluang ini, terus ambil. Rumah pun lengkap dengan perabot dan kelengkapan lain, jadi sangat berbaloi untuk dimiliki,” katanya.
Terdahulu, Amirudin turut menyempurnakan simbolik penyerahan kunci rumah kepada 30 pembeli Projek Residensi Selangorku Oleander yang dijual pada harga RM 288,800 seunit lengkap dengan tiga bilik tidur, tiga bilik air dan dua tempat letak kereta berbumbung bagi setiap unit.
Selain itu, setiap unit juga akan mendapat tiga unit penghawa dingin, tiga unit pemanas air pancuran, sebuah peti sejuk, sebuah televisyen dan perabot pasang siap.










