HULU LANGAT, 2 APRIL: Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Trans Loyal Development Sdn Bhd bagi memperluas akses kediaman mampu milik dan berkualiti kepada rakyat.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yakin kerjasama itu akan menjadi pemangkin dalam mempercepatkan sasaran penyediaan 200,000 unit kediaman mampu milik dan berkualiti menjelang 2028.

“Hari ini saya rasa gembira kerana Trans Royal dan LPHS menandatangani MoU untuk membangunkan 26,405 rumah secara keseluruhan. Satu lagi kemudahan disediakan kepada rakyat untuk penempatan iaitu rumah Selangorku Oleander yang disediakan dengan format Rumah Idaman MBI dan Rumah Selangorku Harapan.
“Ahamdulillah kita sedang berusaha sedaya upaya untuk memenuhi janji dan juga usaha kita membina 200,000 rumah mampu milik yang akan dibangunkan dengan usaha pembangunan daripada pelabur dan juga Kerajaan Negeri,” katanya.
Berucap merasmikan majlis Menandatangani MoU dan Simbolik Penyerahan Kunci Projek Residensi Selangorku Oleander di sini, Amirudin berkata kerjasama strategik itu juga dapat memastikan tiada golongan tercicir peluang pemilikan rumah melalui Skim Smart Sewa.

Jelasnya, program itu antara inovasi serta perubahan dasar yang dilaksanakan Kerajaan Negeri dalam memastikan cabaran ekonomi dan krisis semasa dapat ditangani dengan berkesan sekali gus memungkinkan rakyat dapat memiliki kediaman.
“Saya yakin dengan pelbagai pihak, kita dapat memenuhi permintaan dan harapan masyarakat dengan pelbagai kaedah seperti program Smart Sewa kerana projek pembangunan rumah seperti ini bukan hanya menjadikan rumah untuk dibeli tetapi juga menjadikan rumah untuk disewa di bawah program Smart Sewa.
“Nilai daripada keseluruhan yang Kerajaan Negeri dapat balik dengan pembinaan di sini lebih kurang RM25 juta hingga Rm26 juta dengan lebih 100 unit akan diserahkan balik kepada Kerajaan Negeri yang kita akan laksanakan Smart Sewa.
“Dengan Smart Sewa itu, penyewa akan menunggu tempoh antara dua hingga lima tahun untuk mengumpul dana kerana 30 peratus sewa anda kita akan pulangkan untuk membeli unit-unit lain yang akan dibina oleh pemaju perumahan yang akan kita bangunkan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Trans Loyal Development Sdn Bhd Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata melalui inisiatif Rumah Selangorku pihaknya sudah membina 5,746 unit rumah mampu milik setakat ini.
“Kami juga sedang dalam fasa pembinaan sebanyak 8,219 unit Rumah Selangorku yang telah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di pelbagai daerah sekitar Selangor,” katanya.

Terdahulu, Amirudin menyempurnakan simbolik penyerahan kunci kepada 30 pembeli Residensi Selangorku Oleander yang dijual pada harga RM288,800 seunit.
Setiap unit lengkap dengan tiga bilik tidur, tiga bilik air, dua tempat letak kereta berbumbung, tiga penghawa dingin, tiga pemanas air pancuran, peti sejuk, televisyen dan perabot pasang siap.







