PM seru perkasa budaya ilmu, hidupkan teks turath

2 Apr 2026, 12:53 AM
PM seru perkasa budaya ilmu, hidupkan teks turath

KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru usaha berterusan dilakukan bagi memperkasa budaya ilmu serta menghidupkan semula teks turath sebagai wahana penting memperkukuh akidah dan pemikiran umat.

"Dalam suasana dunia yang kerap berantakan dengan kekeliruan nilai dan penyimpangan makna, usaha menghidupkan kembali teks-teks turath seperti ini adalah satu wahana penting ke arah pemerkasaan umat," katanya menerusi catatan di Facebook malam tadi bersempena dengan pelancaran karya Aqaid al-Nasafi.

Beliau berkata pelancaran karya berkenaan yang disaksikannya suatu ketika dahulu bersama-sama tokoh ilmuwan terkemuka mencerminkan kesinambungan tradisi keilmuan Islam di Nusantara.

"Dalam satu majlis yang sarat makna, saya berkesempatan menyaksikan peluncuran karya penting Aqaid al-Nasafi bersama tokoh-tokoh ilmuwan terkemuka seperti Profesor Ungku Aziz, Profesor Bakar Hamid dan Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas.

"Ia menjadi satu penyuguhan khazanah pemikiran yang telah lama mendukung tradisi keilmuan Islam di Nusantara," katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata kekuatan sesebuah tamadun tidak hanya bergantung kepada pembangunan fizikal semata-mata sebaliknya turut ditentukan oleh keutuhan akidah dan kedalaman wacana intelektual.

Beliau turut mengajak masyarakat untuk menyemarakkan budaya ilmu melalui pembacaan, penggarapan dan pentafsiran dengan hikmah.

"Justeru, saya mengajak kita semua untuk terus menyemarak budaya ilmu yakni dengan membaca, menggarap serta menafsir dengan hikmah agar legasi pemikiran ini tidak sekadar dikenang tetapi terus hidup dalam kehidupan seharian sebagai manusia.

"Walhasil, di situlah terletaknya kekuatan sebenar sebuah bangsa yang berteraskan tradisi ilmu dan keteguhan iman," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619