AGENDA

23 kes varian baharu membimbangkan, lapan di Selangor

10 Jun 2021, 8:40 AM
23 kes varian baharu membimbangkan, lapan di Selangor

SHAH ALAM, 10 JUN: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 23 kes varian baharu virus Covid-19 dalam tempoh 3 hingga 8 Jun lalu yang kesemuanya membabitkan varian membimbangkan (VOC).

Ketua pengarah kesihatan berkata 19 daripada jumlah itu membabitkan penularan varian Beta (B.1.351), lapan di Selangor, Putrajaya (tiga), Kuala Lumpur, Melaka serta Kedah (masing-masing dua) manakala di Perak dan Perlis (masing-masing satu).

Jelasnya, penularan empat kes varian Delta (B.1.617.2) pula dikesan di Kuala Lumpur dan Putrajaya iaitu masing-masing dua kes.

"Secara keseluruhan, terdapat 161 kes positif Covid-19 membabitkan 145 VOC iaitu B.1.351 (123), B.1.617.2 (13) dan Alpha (B.1.1.7) (sembilan).

"Manakala 16 varian mempunyai kepentingan (VOI) dengan Theta (P.3) (12), Eta (B.1.525) (tiga) serta Kappa (B.1.617.1) (satu) sehingga semalam," kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Facebook.

Beliau berkata KKM akan melakukan pengawasan genomik, meningkatkan saringan, pengesanan kontak dan pengasingan kes serta langkah kesihatan bagi membendung penularan varian dalam komuniti.

"Masyarakat dinasihatkan segera tampil mendaftarkan diri dan ahli keluarga bagi mendapatkan vaksin dalam usaha membantu membentuk imuniti kelompok.

"Ini juga salah satu langkah mengekang kesan buruk penularan varian dalam kalangan komuniti," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619