AGENDA

Covid-19: KKM saran buat saringan kepada pelajar, guru susulan peningkatan kluster

4 Apr 2023, 9:01 AM
Covid-19: KKM saran buat saringan kepada pelajar, guru susulan peningkatan kluster

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan kepada sektor pendidikan untuk melakukan saringan kepada pelajar, guru dan kakitangan susulan 11 daripada 18 kluster Covid-19 yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ketujuh 2023 (ME 13/2023) dari 26 Mac hingga 1 April, adalah kluster pendidikan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata daripada jumlah itu enam kluster adalah melibatkan institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu tiga kolej dan masing-masing satu di sekolah agama menengah, sekolah berasrama penuh dan sekolah menengah.

Beliau berkata lima kluster lagi adalah kluster pendidikan lain iaitu empat di maktab dan satu membabitkan taman asuhan kanak-kanak (Taska).

“Peningkatan kes dan kluster Covid-19 pada ketika ini berlaku berikutan pembukaan semula sesi persekolahan pada pertengahan Mac 2023. Peningkatan kes ini juga disebabkan oleh pergerakan masyarakat yang banyak sewaktu musim cuti sekolah lepas,” katanya.

Untuk itu, sektor pendidikan disaran untuk menjalankan saringan bergejala terhadap pelajar, guru dan kakitangan sebelum masuk ke kawasan sekolah atau institusi serta menjalankan ujian RTK-Ag ke atas murid, guru, dan kakitangan mengikut strategi pengujian Covid-19.

Selain itu, ibu bapa juga perlu memantau status kesihatan anak dan bertanggungjawab untuk tidak menghantar mereka ke sekolah sekiranya bergejala serta menjalankan penilaian risiko penularan jangkitan Covid-19 di institusi masing-masing dari semasa ke semasa agar tindakan pencegahan segera diambil.

Dr Noor Hisham dalam pada itu turut mengingatkan pegawai kesihatan daerah agar kes positif yang dilaporkan pihak sekolah atau institusi pendidikan perlu disiasat dan dijalankan penilaian risiko untuk menilai status penularan jangkitan selain tindakan pembersihan dan disinfeksi serta pengesanan kontak perlu dijalankan.

Selain itu, orang ramai juga disaran untuk terus mengamalkan TRIIS [Test (Uji), Report (Lapor), Isolate (Asing), Inform (Maklum), and, Seek (Dapatkan rawatan)] bagi mengawal penularan Covid-19.

Mengenai perkembangan kes Covid-19, Dr Noor Hisham berkata jumlah kemasukan pesakit ke fasiliti kesihatan bagi setiap 100,000 penduduk meningkat 24.1 peratus pada ME 13/2023 berbanding ME 12/2023 dengan kumulatif kes baharu sebanyak 5,052,337 kes manakala 5,004,546 bagi kes sembuh.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619