AGENSI

JAS Selangor patahkan cubaan seludup lapan kontena e-sisa

18 Feb 2021, 1:00 PM
JAS Selangor patahkan cubaan seludup lapan kontena e-sisa

SHAH ALAM, 18 FEB: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk lapan kontena berisi barangan buangan elektrik dan elektronik terpakai (e-sisa) di Pelabuhan Barat dekat sini hari ini.

Pengarah JAS Selangor Nor Aziah Jaafar berkata serbuan hasil kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya menemukan barangan elektrik dan elektronik terpakai seberat kira-kira 145.1 tan yang dibawa masuk bagi tujuan kitar semula.

“Dalam serbuan kira-kira 12 tengah hari tadi kami telah menemukan papan litar tercetak dan mesin pencetak terpakai yang dikategorikan sebagai buangan elektrik dan elektronik terpakai seberat 147,147 kilogram dan dipercayai dibawa masuk bagi tujuan kitar semula.

“Siasatan awal mendapati barangan buangan ini diimport dari Amerika Syarikat dan Hong Kong tanpa kelulusan JAS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nor Aziah berkata kesemua barangan buangan itu dipercayai akan dibawa ke beberapa premis di Lembah Klang untuk dilebur bagi mendapatkan logam berharga seperti timah dan tembaga bagi pasaran tempatan.

"Kita telah mengeluarkan notis arahan kepada syarikat pengimport untuk memulangkan kontena itu ke negara asal di bawah prosedur Konvesyen Basel berkaitan Kawalan Pergerakan Bahan Berbahaya Dan Pelupusan," katanya.

Beliau berkata JAS Selangor terus komited membanteras jenayah alam sekitar rentas sempadan dan mengelakkan negeri ini dijadikan tempat pelupusan buangan daripada negara asing.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619