AGENDA

Tidak patuh SOP PKP, 19 premis dikompaun - menteri

6 Feb 2021, 11:45 AM
Tidak patuh SOP PKP, 19 premis dikompaun - menteri

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Sebanyak 19 premis dikompaun semalam kerana tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata tindakan itu dibuat menerusi pemeriksaan khas pematuhan SOP oleh anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di 1,330 premis perniagaan.

"Daripada jumlah itu, 1,293 premis mematuhi SOP, 12 diberi nasihat, enam diberi amaran manakala 19 lagi premis dikompaun," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan PKP hari ini.

Memperincikan tangkapan ingkar PKP semalam, beliau berkata 643 individu telah ditahan dan daripada jumlah itu, 623 dikompaun manakala 20 lagi direman.

"Antara kesalahan direkodkan adalah tidak memakai pelitup muka (144), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (112), tiada penjarakan fizikal (133), gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (112), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (34), keluar rumah tanpa alasan munasabah (42) dan lain-lain (66)," katanya.

Kawalan sempadan menerusi Operasi Benteng semalam pula menyaksikan 14 pendatang tanpa izin ditahan manakala lima kenderaan darat dirampas.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata seramai 8,717 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu 299 orang disahkan positif Covid-19 semalam.

Beliau berkata secara kumulatif, sejak 1 Disember lepas seramai 305,620 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan yang melibatkan 13,202 majikan dan daripada jumlah itu 6,028 orang telah disahkan positif.

Menteri itu berkata sejak 24 Julai tahun lepas, seramai 117,449 individu telah pulang ke tanah air dan mereka ditempatkan di 73 hotel serta 14 Institut Latihan Awam (ILA) dan Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.

"Secara kumulatif seramai 7,599 individu dikuarantin, 109,361 orang dibenarkan pulang manakala 489 lagi dibawa ke hospital," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619