AGENDA

HARAPAN: PM jangan diam diri, Parlimen perlu bincang isu ketua pesuruhjaya SPRM

7 Jan 2022, 6:45 AM
HARAPAN: PM jangan diam diri, Parlimen perlu bincang isu ketua pesuruhjaya SPRM

SHAH ALAM, 7 JAN: Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) gesa Perdana Menteri memanggil sidang khas Parlimen bagi menjelaskan isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Sambil menyatakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak boleh lagi berdiam diri, HARAPAN mahu penjelasan bagaimana pentadbiran SPRM menjadi rosak hingga boleh berlaku kes-kes yang meranapkan imej institusi itu.

Kata kenyataan itu, perkara tersebut termasuk dakwaan kecurian RM25 juta wang kes bekas ketua pengarah organisasi perisikan luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid melibatkan pegawai-pegawai SPRM.

"Oleh itu, kami mengulangi pendirian bahawa siasatan penuh dilakukan oleh badan bebas yang tiada kaitan dengan SPRM terhadap bukan sahaja ketua pesuruhjaya sedia ada malah juga terhadap ketua-ketua pesuruhjaya yang telah berkhidmat sebelum ini," kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu berkata kontroversi tersebut telah menjejas integriti dan melumpuhkan kredibiliti suruhanjaya itu pada mata rakyat malah di peringkat antarabangsa seperti kenyataan dibuat Transparency International.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim,  Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Madius Tangau.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619