AGENDA

Agong ajak rakyat bersatu hati perangi penularan Covid-19

13 Okt 2020, 8:56 AM
Agong ajak rakyat bersatu hati perangi penularan Covid-19

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengajak seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik, untuk bersatu hati dalam memerangi penularan Covid-19, demi keselamatan bersama dan kesejahteraan negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah bertitah demikian susulan perkembangan membimbangkan pandemik berkenaan, berikutan kenaikan berterusan tiga digit kes positif harian dan kewujudan beberapa kluster baharu sejak 1 Oktober lepas.

“Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa, semoga Malaysia terus dilindungi dan dirahmati dan ancaman penularan Covid-19, dapat dibendung dengan berkesan dan diakhiri segera,” menurut Ahmad Fadil dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka juga menzahirkan kegusaran, namun menasihati rakyat supaya kekal bertenang dan berdisiplin menjaga kesihatan diri, dengan mematuhi ketetapan tatacara kebiasaan baharu dan prosedur operasi standard, terutama dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai esok.

Lanjutan kepada pelaksanaan PKPB dan atas titah perkenan Al-Sultan Abdullah, Ahmad Fadil berkata Istana Negara turut melaksanakan sekatan pergerakan separa, yang telah berkuatkuasa sehingga tarikh yang akan diumumkan kelak.

“Seri Paduka Baginda amat prihatin dan menitikberatkan penjagaan dan tahap kesihatan diri para pegawai serta kakitangan Istana Negara dan pelaksanaan ini adalah untuk menjaminkan keselamatan dan kesejahteraan warga Istana Negara,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619