AGENDA

SAR digerak selepas saksi dakwa nampak pesawat terhempas di Tanjung Bungah

20 Sep 2020, 1:28 PM
SAR digerak selepas saksi dakwa nampak pesawat terhempas di Tanjung Bungah

GEORGE TOWN, 20 SEPT: Polis bersama beberapa agensi lain menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan laut petang tadi selepas menerima laporan daripada saksi memaklumkan dia bersama rakannya ternampak sebuah pesawat ringan dipercayai telah terhempas sebelum terjunam ke dalam laut berhampiran Tanjung Bungah, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata sehingga pukul 6.30 petang tadi pihaknya tidak menemui sebarang petunjuk atau bangkai pesawat yang didakwa terjatuh itu.

"Operasi dihentikan berikutan cuaca semakin gelap dan kemungkinan ia akan disambung esok jika kami mendapat maklumat terbaru mengenai kejadian tersebut. Polis juga setakat ini tidak menerima laporan berhubung pesawat terhempas dari Jabatan Penerbangan Awam (DCA)," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya dua lelaki itu memaklumkan mereka ternampak pesawat berwarna gelap tersebut terhempas kira-kira 2 petang sebelum memaklumkan kejadian berkenaan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

Katanya beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian pesawat terhempas itu agar tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

"Selain itu, polis juga meminta sesiapa yang kehilangan ahli keluarga terdiri daripada juruterbang pesawat agar tampil membuat laporan polis kerana setakat ini kami memang tidak menerima sebarang laporan daripada keluarga mangsa," katanya.

Terdahulu, tular di laman sosial seorang lelaki membuat laporan polis selepas dia dan rakannya ternampak sebuah pesawat ringan terhempas sebelum terjunam terus ke dalam laut ketika mereka berada di kawasan pantai di Tanjung Bungah hari ini.

Menurut saksi itu, kejadian tersebut berlaku sangat pantas dan terdapat asap keluar daripada pesawat berkenaan sebelum ia terjunam ke dalam laut.

Berikutan itu, orang ramai mula membanjiri kawasan pantai tersebut untuk melihat operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan pihak berkuasa di kawasan laut termasuk Angkatan Pertahanan Awam.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619