AGENDA

OP SAR warga Singapura hari ke-10 tumpu pesisir pantai

18 Ogos 2019, 5:37 AM
OP SAR warga Singapura hari ke-10 tumpu pesisir pantai

KUALA TERENGGANU, 18 OGOS: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) warga Singapura, Tan Eng Soon yang hilang ketika berkayak di perairan Mersing, Johor yang masuk hari ke-10 hari ini diteruskan dengan sektor pencarian seluas 100 batu nautika persegi dari pesisir pantai Merchang, Marang hingga ke muara Kuala Terengganu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, keluasan pencarian hari ini diperkecilkan berbanding 300 batu nautika persegi semalam bagi memberi tumpuan pencarian di pesisir pantai.

"Operasi SAR yang dikoordinasikan oleh APMM hari ini melibatkan aset laut sebanyak enam buah bot milik pelbagai agensi keselamatan yang mana berlaku pertambahan daripada jumlah aset yang digunakan berbanding empat buah bot semalam.

“Keadaan laut yang bergelora turut menyukarkan operasi pencarian yang dijalankan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Katanya, seramai 80 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia turut sama terlibat dalam usaha pencarian yang bermula pukul 8 pagi tadi.

Tan, 62, dan seorang lagi rakan senegaranya, Puah Geok Tin, 57, dilaporkan hilang pada 8 Ogos selepas kayak yang dinaiki mereka terpisah dengan 13 lagi rakan di antara Pulau Sri Buat, Pahang dan Pulau Mertang di Mersing, Johor berikutan laut bergelora dan angin kuat.

Pada Rabu, mayat Puah ditemukan di perairan Kuala Kemaman dan susulan penemuan itu, Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) telah diwujudkan di pejabat Zon Maritim Kemaman, sejak Khamis lepas.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619