AGENDA

Covid-19: KKM perjelas alamat tidak tepat kes positif di Subang Jaya

22 Ogos 2020, 11:14 PM
Covid-19: KKM perjelas alamat tidak tepat kes positif di Subang Jaya

KUALA LUMPUR, 23 OGOS: Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan kes positif yang dilaporkan di Subang Jaya pada 10 Ogos lepas melibatkan seorang warga asing yang menjalani saringan di tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata warga asing tersebut tidak bermastautin di situ, tetapi menetap di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, iaitu lokasi kes.

“Sementara menunggu keputusan ujian, majikan kes telah mengambil inisiatif dengan meletakkan kes di bawah kuarantin di sebuah hotel di Subang Jaya, yang merupakan lokasi yang didaftar dalam aplikasi MySejahtera.

“Namun demikian, setelah mendapat keputusan saringan Covid-19, alamat pendaftaran kes itu dipindahkan semula ke alamat tempat tinggalnya iaitu di Bandar Tun Hussein Onn sebelum dia dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Dr Noor Hisham berkata segala tindakan pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat dijalankan di lokasi tempat kediaman kes, iaitu di Bandar Tun Hussein Onn yang turut dikemas kini menerusi aplikasi MySejahtera sebagai alamat kes.

Terdahulu, tular di media sosial yang mendakwa penularan kes Covid-19 di Subang Jaya susulan pemberitahuan menerusi MySejahtera terdapat kes di kawasan itu.

KKM menasihati orang ramai agar hanya berkongsi maklumat yang terbukti kesahihannya agar tidak menimbulkan panik dalam masyarakat.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619