AGENDA

Penerbangan Malaysia-Singapura AirAsia bermula ekoran keputusan RGL

3 Ogos 2020, 2:41 PM
Penerbangan Malaysia-Singapura AirAsia bermula ekoran keputusan RGL

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: AirAsia sedang bersedia untuk menyambung semula penerbangan antara Malaysia dan Singapura, termasuk laluan Kuala Lumpur-Singapura yang dikatakan sebagai yang paling sibuk di dunia, berikutan keputusan perlaksanaan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL).

Ini akan diikuti dengan destinasi antarabangsa yang lain, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa, kata syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam satu kenyataan hari ini.

Sebagai permulaan, AirAsia akan melancarkan penerbangan harian antara Kuala Lumpur dan Singapura, serta satu penerbangan mingguan membabitkan Singapura dan Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching termasuk Ipoh.

Penerbangan ini dijadualkan bermula pada 17 Ogos tetapi bergantung kepada pengumuman lanjut oleh kerajaan.

AirAsia mengalu-alukan keputusan kerajaan Malaysia dan Singapura bagi membuka perjalanan merentas sempadan untuk tujuan perniagaan dan rasmi antara kedua-dua negara melalui skim RGL.

Skim RGL memerlukan pengembara yang layak untuk mematuhi peraturan pencegahan dan langkah-langkah kesihatan awam yang telah dipersetujui oleh kedua-dua negara, yang merangkumi ujian "polymerase chain reaction" (PCR).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata syarikat penerbangan itu benar-benar komited ke arah meneruskan penyambungan udara dan seterusnya memulihkan aktiviti ekonomi di rantau ini.

"RGL adalah langkah pertama tetapi amat signifikan sebagai tanda bahawa kedua-dua negara mula memulihkan ekonomi," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619