AGENDA

Malaysia, Singapura setuju teruskan projek RTS

30 Jul 2020, 2:03 AM
Malaysia, Singapura setuju teruskan projek RTS

JOHOR BAHRU, 30 JULAI: Malaysia dan Singapura bakal "bertemu" atas Tambak Johor pagi ini bagi menyatakan "secara simbolik" persetujuan untuk meneruskan projek Sistem Transit Rapid (RTS).

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal bertemu rakan sejawatannya, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, sama-sama menjadi "saksi" simbolik persetujuan itu.

Pada pertemuan ringkas itu juga, Malaysia akan diwakili Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong; Menteri Kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Turut dijangka hadir Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad.

Sementara itu, Singapura bakal diwakili Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung, Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan dan bekas Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan.

Ia juga dianggap bersejarah dan simbolik memandangkan ini adalah pertemuan pertama kali antara Muhyiddin dan Lee di atas Tambak Johor, yang dianggap sebagai antara laluan darat "tersibuk di dunia” dengan 350,000 pengguna setiap hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

Ini juga pertama kali Muhyiddin “bersemuka” dengan Lee sejak dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac lepas, sementara Lee baru sahaja mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Singapura yang baharu pada 27 Julai lepas, setelah partinya Parti Tindakan Rakyat (PAP) memenangi pilihan raya baru-baru ini.

Setelah tiga kali tertangguh, Malaysia dan Singapura dijangka bersetuju “untuk buat kali terakhirnya” meneruskan pembinaan projek RTS pagi ini.

RTS, yang merupakan alternatif bagi mengurangkan kesesakan di laluan berkenaan (Tambak Johor), merangkumi pembinaan laluan sepanjang empat kilometer menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands di Singapura.

Pembinaan projek RTS yang dianggap kompleks itu, melalui beberapa siri dan tempoh perbincangan yang lama di bawah kepimpinan tiga Perdana Menteri Malaysia itu, kini dijangka menelan kos sebanyak RM3.7 bilion meliputi spesifikasi yang telahpun dipersetujui oleh Malaysia dan Singapura.

Projek berkenaan yang mempunyai dua fasa pembinaan dijangka bermula tahun 2021 dan dijangka siap akhir hujung 2026.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619