AGENDA

PLUS keluar jadual cadangan waktu perjalanan sempena Aidiladha

29 Jul 2020, 6:04 AM
PLUS keluar jadual cadangan waktu perjalanan sempena Aidiladha

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: PLUS Malaysia Bhd (PLUS) hari ini mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk saranan waktu yang sesuai memulakan perjalanan di lebuh raya sempena sambutan Aidiladha.

PLUS dalam kenyataannya hari ini menyarankan pelanggan lebuh raya dari Kuala Lumpur atau Selangor yang menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor supaya memasuki lebuh raya lebih awal, sebelum pukul 10 pagi.

“Pelanggan yang menuju ke lain-lain negeri pula disarankan supaya memasuki lebuh raya selepas 2 petang bermula hari ini sehingga 30 Julai.

“Bagi perjalanan pulang semula ke Lembah Klang, jadual TTA menyarankan agar semua pelanggan lebuh raya daripada semua negeri memasuki lebuh raya sebelum 9 pagi, antara 1 hingga 3 Ogos ini,” menurut kenyataan itu.

PLUS juga akan menutup lorong tambah nilai di plaza tol untuk mengurangkan intervensi terus transaksi tunai dalam kalangan kakitangan PLUS dan pelanggan lebuh raya bagi membendung penularan Covid-19.

Oleh itu, pelanggan lebuh raya diminta memastikan kad Touch ‘n Go mempunyai baki yang mencukupi dengan menambah nilai di stesen minyak, kiosk layan diri (SSK), kedai serbaneka, mesin ATM dan lain-lain lokasi yang disediakan di seluruh negara sebelum memasuki lebuh raya.

Sementara itu, pelanggan lebuh raya juga disaran menggunakan perkhidmatan prapesanan makanan yang terdapat di 16 kawasan rehat dan rawat (R&R) terpilih bagi menjaga penjarakan sosial dalam kalangan orang ramai di tempat umum.

PLUS turut menghentikan sementara kerja penyelenggaraan dan naik taraf lebuh raya bermula hari ini hingga 3 Ogos serta menyediakan kren dan trak tunda di 14 lokasi strategik bagi mempercepatkan kerja pengalihan dan penundaan kenderaan rosak atau terlibat dengan kemalangan di lebuh raya.

PLUS juga menempatkan kira-kira 3,500 kakitangan di dalam ekosistem lebuh raya PLUS untuk membantu semua pelanggannya menikmati perjalanan yang lancar pada musim perayaan kali ini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619