AGENDA

MPM tumpu Sukan Para ASEAN 2021 Vietnam

22 Jun 2020, 8:37 AM
MPM tumpu Sukan Para ASEAN 2021 Vietnam

KUALA LUMPUR, 22 JUN: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) kini akan mengalih perhatian kepada perancangan menuju Sukan Para ASEAN 2021 di Vietnam, susulan keputusan Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) membatalkan penganjuran temasya Sukan Para ASEAN 2020 di Filipina.

Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, satu perjumpaan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN), akan diadakan bagi membincangkan persiapan kontinjen, selain lanjutan kontrak atlet yang dijangka berakhir bulan ini.

“MPM syukur dan berasa lega perkara (pembatalan) ini dan kita boleh mula melangkah memikirkan mengenai perancangan tahun depan. Saya akan maklumkan mengenai pembatalan ini, sebelum kami bermesyuarat bersama dan membuat pelan hala tuju baharu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sukan Para ASEAN 2020 sepatutnya diadakan dari 18 hingga 24 Januari lepas, namun ditangguhkan ke 20 hingga 28 Mac susulan kekangan kewangan dan logistik penganjur, sebelum ia ditangguhkan sekali lagi pada Oktober akibat pandemik Covid-19.

APSF dalam satu kenyataan semalam, secara rasmi membatalkan temasya Sukan Para ASEAN 2020 di Filipina, berikutan pandemik Covid-19 dan akan memberi tumpuan kepada penganjuran edisi 2021 di Vietnam.

Megat D Shahriman menjelaskan pembatalan temasya dwi tahunan itu menyaksikan, kesemua 10 negara dibenarkan untuk menganjurkan kejohanan jemputan sebagai medan menguji prestasi atlet, sebelum menghadapi temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2021 dan Sukan Para ASEAN 2021 di Vietnam.

“Keputusan (pembatalan) dibuat sebulat suara 10 negara dan kami setuju sekiranya ada negara yang ingin anjurkan kejohanan pada tahun depan. Kami (MPM) juga dibenarkan untuk membuat jemputan kepada semua negara ASEAN, bagi persiapan sebelum Sukan Paralimpik dan Sukan Para ASEAN,” tambah beliau.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619