AGENDA

Pascamoratorium: AKPK sedia khidmat nasihat bayar semula hutang

20 Jun 2020, 3:38 PM
Pascamoratorium: AKPK sedia khidmat nasihat bayar semula hutang

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bersedia memberi khidmat nasihat serta penjadualan semula hutang kepada individu yang berdepan masalah pembayaran hutang pascamoratorium.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat AKPK Mohamad Khalil Jamaldin berkata agensi itu bersedia membantu mereka yang masih terkesan dari segi kewangan apabila pelaksanaan moratorium tersebut tamat pada 30 September ini.

“Bagi golongan yang pendapatannya tidak terjejas tetapi memilih untuk menerima moratorium dijangka tidak mempunyai masalah untuk membayar semula pinjaman setelah tamat tempoh moratorium.

“Namun bagi mereka yang masih terkesan dari segi kewangan dan menempuh saat sukar, diseru agar mendapatkan bantuan awal dengan menghubungi institusi kewangan masing-masing atau AKPK,” katanya dalam kenyataan hari ini.

AKPK turut menggariskan sembilan panduan bagi membantu mereka yang berkenaan membuat persediaan menghadapi cabaran kewangan pascamoratorium, antaranya bersedia dari segi mental dan emosi bahawa tiada lagi penangguhan bayaran selepas 30 September ini; tidak menunggu saat akhir dengan merancang awal pembayaran dan mengetahui ansuran bulanan terkini.

Mereka juga disaran menyemak semula kedudukan kewangan terkini; mengkaji semula bajet bulanan; menjana pendapatan baharu; mempelajari kemahiran baharu; meneroka pakej insentif Covid-19 dan tidak terjebak dalam skim penipuan kewangan.

Bagi mereka yang berminat mengetahui tip terkini pengurusan kewangan berhemat serta pembelajaran pengurusan kewangan dalam talian, bolehlah melayari laman sesawang power.akpk.org.my atau media sosial AKPK seperti Facebook, Twitter dan Instagram.

Bagi yang ingin mendapatkan bantuan, AKPK boleh dihubungi menerusi talian khidmat pelanggan 03-2616 7766 atau melalui laman web www.akpk.org.my serta pautan bit.ly/AKPKdmp2020.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619