BERITA UTAMA

MB: Makan di restoran dibenarkan, pastikan jarak sosial

12 Mei 2020, 8:15 AM
MB: Makan di restoran dibenarkan, pastikan jarak sosial
MB: Makan di restoran dibenarkan, pastikan jarak sosial
MB: Makan di restoran dibenarkan, pastikan jarak sosial

SHAH ALAM, 12 MEI: Semua restoran di Selangor kini dibenarkan beroperasi sepenuhnya termasuk makan dan minum di dalam premis dari jam 7 pagi hingga 10 malam tertakluk kepada pematuhan penjarakan sosial, kata Dato' Seri Amirudin Shari.

Dato' Menteri Besar berkata ketetapan dibuat selepas persidangan bersama datuk bandar, yang dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pegawai daerah seluruh negeri ini pagi tadi susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun 2020.

Bagaimanapun, beliau berkata peniaga restoran digalakkan memberi pilihan pratempahan kepada pelanggan bagi mengelak kesesakan di dalam kedai.

"Penjaja makanan dalam kategori tidak berpremis (kendera saji dan penjaja tepi jalan) boleh mula beroperasi 8 pagi hingga 10 malam namun terhad kepada pandu lalu, bungkus dan penghantaran sahaja. Membuka meja di kawasan kaki lima serta parkir tidak dibenarkan.

"Penguat kuasa PBT akan turut membuat pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang dikuatkuasa berada di tahap optimum," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, aktiviti pasar selain daripada bentuk penyembelihan dibenarkan beroperasi seperti biasa dan larangan operasi pasar pagi dan pasar malam adalah kekal buat masa ini.

"Sebarang bentuk aktiviti penyembelihan dan pemprosesan haiwan seperti ayam di pasar awam, pasar borong, pasar segar dan pasar swasta adalah tidak dibenarkan," katanya.

Pada 10 Mei lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan empat minggu lagi sehingga 9 Jun 2020.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619