AGENDA

Petugas Jawi mohon doa ibu, mudahkan urus jenazah Covid-19

12 Apr 2020, 8:00 AM
Petugas Jawi mohon doa ibu, mudahkan urus jenazah Covid-19

SHAH ALAM, 12 APRIL: Seorang kakitangan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berkongsi perasaan beliau menguruskan jenazah pesakit Covid-19 termasuk bimbang kemungkinan dijangkiti.

Petugas Bahagian Pengurusan Dakwah Jawi, Ustaz Mohamad Fauzi Abu Seman berkata apabila mendapat panggilan menguruskan mayat wabak tersebut, beliau akan menghubungi ibu untuk mendoakan supaya tugas dipermudahkan selain keselamatan diri.

"Selepas itu, saya akan meminta isteri turut mendoakan pekerjaan saya, apa yang penting adalah niat kami untuk membantu dan ia sebahagian daripada tanggungjawab fardu kifayah kami.

"Pengurusan jenazah bagi mangsa virus ini memang berisiko dan perlu memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) sepanjang masa pengurusan berkenaan," katanya seperti dilapor Harian Metro.

Mohamad Fauzi yang turut berpengalaman dalam pengurusan jenazah nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 berkata peraturan menguruskan jenazah mangsa Covid-19 lebih ketat.

“Kita tidak mandikan dengan air, sebaliknya kita hanya mengenakan tayammum kepada jenazah di atas beg plastik yang sudah dipasang oleh kakitangan hospital.

“Pengurusan jenazah Covid-19 ini adalah sama dengan mangsa virus Ebola dan jenazah dibalut dengan dua lapisan beg plastik. Untuk urusan tayammum, hanya seorang petugas saja dibenarkan manakala dua lagi petugas untuk solat jenazah,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619