AGENDA

Kuota haji Malaysia meningkat kepada 31,600

22 Jan 2020, 6:46 AM
Kuota haji Malaysia meningkat kepada 31,600

SEPANG, 22 JAN: Kuota rasmi haji untuk Malaysia bagi tahun ini meningkat kepada 31,600 berbanding 30,200 jemaah tahun lalu, kata Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata penambahan kuota 1,400 orang hasil rundingan kerajaan Malaysia khususnya Lembaga Tabung Haji (TH) dengan Arab Saudi untuk mempertimbangkan kenaikan jumlah kuota seiring peningkatan populasi penduduk negara ini.

"Kita diberikan kuota berpandukan 0.01 peratus penduduk yang diambil daripada populasi kita yang tidak dikemas kini (populasi 30 juta) tetapi mengikut versi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2017, penduduk Malaysia meningkat kepada 31.6 juta.

"... kerana keputusan OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) yang menyatakan setiap negara dapat (kuota haji) 0.01 peratus daripada populasi penduduknya, maka kita maklumkan peningkatan mengikut statistik (PBB) terbaharu," katanya kepada pemberita pada sidang media khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Ditemui sebaik tiba di tanah air dari Riyadh hari ini, Mujahid yang berada tiga hari di Arab Saudi sejak Ahad, mengadakan pertemuan dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Mohammad Saleh bin Taher Benten di Makkah bagi membincangkan isu berkenaan hal ehwal pengurusan dan persiapan jemaah haji dari Malaysia bagi musim haji 1441H.

Beliau turut mengadakan perbincangan bersama Menteri Hal Ehwal Agama, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi Sheikh Abdullatif bin Abdulaziz Al-Sheikh di Riyadh, sebelum pulang ke Malaysia.

Mujahid berkata penambahan kuota rasmi akan dapat mengurangkan jumlah mereka yang menunggu untuk menunaikan ibadah haji bagi musim haji 1441H dan tahun-tahun berikutnya, sekali gus memendekkan tempoh giliran.

“Insya-Allah pada tahun ini, seramai 31,600 jemaah Malaysia dapat menunaikan haji," katanya.

Ditanya bagaimana persediaan TH berhubung penambahan kuota, Mujahid berkata TH sudah bersedia dengan mengambil kira semua aspek.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619