GLOBAL

Markas tentera Iraq dibedil roket, dua cedera

13 Jan 2020, 3:04 AM
Markas tentera Iraq dibedil roket, dua cedera

BAGHDAD 13 JAN: Markas Udara Balad di Salahudin, wilayah tengah Iraq, yang sebelum ini menempatkan tentera Amerika Syarikat (AS) dibedil tujuh roket Katyusha.

Agensi berita Xinhua memetik kenyataan sumber bahawa dalam serangan petang semalam, roket yang disasarkan ke markas udara kira-kira 90 kilometer (km) ke utara Baghdad itu mencederakan dua anggota tentera dan merosakkan bangunan berhampiran.

Balad adalah markas udara terbesar di Iraq, yang juga dikenali dalam kalangan pasuken tentera AS sebagai Logistics Support Activity (LSA) Anaconda. Setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu.

Markas udara itu menempatkan sejumlah pasukan tentera AS dan penasihat syarikat AS mengendalikan operasi jet pejuang F-16 milik Iraq tetapi mereka sudah meninggalkannya kira-kira seminggu lalu.

Ia berikutan tindakan gabungan tentera bersekutu diterajui AS mengumumkan penggantungan operasi terhadap militan Daesh di Iraq.

Serangan itu berlaku beberapa hari selepas pemimpin militan Shiite Asa’ib Ahl al-Haq yang disokong Iran, Qais al-Khazali, mengumumkan akan bertindak balas terhadap pembunuhan komander tertinggi Iran, Qassem Soleimani, dalam serangan dron AS.

Ugutan Al-Khazali itu menyusuli tindakan Iran melancarkan serangan peluru berpandu terhadap markas menempatkan tentera AS di Anbar di barat Iraq dan berhampiran bandar Erbil, ibu negara wilayah Kurdistan.

Selain Soleimani, serangan terhadap konvoi di lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad itu turut mengorbankan timbalan ketua separa tentera Iraq, Hashd Shaabi, Abu Mahdi al-Muhandis.

Lebih 5,000 anggota tentera AS dikerah ke Iraq bagi menyokong pasukan tentera negara itu menentang militan Daesh.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619